Buku-buku tentang Baligh

Alhamdulillah hari ini saya teringin berkongsi tentang 'buku-buku tentang baligh', diantaranya buku 'bulugh bila khajal' yang sedang dibaca.

Buku tulisan Dr. Akram Ridha ini termasuk ke dalam siri 'aulaadina' iaitu anak-anak kita, yang mana ada tiga buah buku yang ditulis oleh beliau sebagai panduan kepada ibubapa untuk memahami anak-anak remaja. Akan tetapi menurut penulis, buku tersebut lebih popular dikalangan anak-anak remaja sendiri, bukannya ibubapa (target pembaca).

Buku-buku lain dalam siri ini ialah 'murahaqah bila azmah' dan 'shabab bila masyakil'. Disamping itu terdapat beberapa buah buku lagi yang juga amat menarik untuk menjadi sumber maklumat ibubapa tentang peringkat ini.

Insya Allah, saya akan berusaha untuk menghabiskan bacaan buku-buku tersebut sebagai panduan mendidik anak-anak yang semakin membesar, dan akan menempuh alam remaja.

Itulah tugas surirumah, jika kita tidak cuba memahami persoalan remaja, akhirnya anak-anak kita akan lebih selesa berkongsi cerita dengan kawan-kawan, serta menganggap kita tidak memahami mereka.

Buku yang ditulis berbentuk cerita disamping penjelasan saintifik ini amat menarik untuk dibaca, sebagai maklumat ibubapa yang mempunyai anak-anak remaja.

Alhamdulillah anak-anak remaja sekarang bukan lagi seperti generasi kita dahulu. Kita kurang didedahkan dengan informasi tentang baligh. Cikgu yang mengajar disekolah juga terlalu berhati-hati untuk menceritakan tentang tajuk sebegini. 

Dalam dunia hari ini anak-anak remaja kita mampu mendapatkan maklumat dengan senang tentang apa yang berlaku kepada mereka. Malah disini pelajar sekolah diajar dalam matapelajaran 'kemahiran hidup' tentang apakah yang berlaku ketika baligh, serta tugas dan tanggungjawab selepas baligh.

Teringat juga sebuah buku yang saya beli sebagai hadiah kepada anak perempuan, iaitu buku tentang pendidikan anak remaja perempuan "al-hawzi al-saghir", rupa-rupanya buku ini adalah buku syiah. Akhirnya buku tersebut tinggal didalam simpanan sendiri. Anak saya memberitahu bahawa kawan-kawannya juga memiliki buku tersebut.

Sayangnya kita tidak mempunyai buku panduan kepada anak-anak remaja lelaki dan perempuan, agar perjalanan hidup mereka dijalani dengan penuh ketaqwaan kepada Allah swt.

Rupa-rupanya banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari, dalam usaha mendidik anak-anak yang semakin menghampiri alam remaja.

Moga Allah swt memudahkan kita mendidik anak-anak menjadi insan yang beriman.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?