Tersepit antara adat dan keperluan

Beberapa hari ini saya asyik terfikir tentang adat, kebiasaan dan sunnah. Lebih-lebih lagi apabila menghadapi masalah di hospital disini beberapa hari lepas, yang mana kesemuanya berpunca daripada adat disini.
Apakah Sunnah itu adat?

Sebenarnya, sudah beberapa tahun saya tinggalkan perbincangan mengenai tajuk adat, setelah berjaya menghabiskan tesis Phd dengan tajuk "Adat yang bertentangan dengan Sunnah: Analisis tentang adat berkaitan dengan kepercayaan dan ibadat".

Ketika itu saya merasakan bahawa tajuk yang ditulis tidak begitu bermakna, tambahan pula setelah berhijrah ke sini. Apalah yang ada pada adat? Siapa yang nak membincangkannya? Lain tempat lain adatnya. Akhirnya tesis dan ilmu yang dikutip didiamkan begitu saja.

Apabila menghadapi krisis antara adat dan peraturan, yang mana mesti didahulukan?
Apabila terjadi pertentangan antara adat dan sunnah, mana pula yang mesti diutamakan?
Apakah kita boleh mengubah adat kita?

Sehingga kini, saya masih memegang pendapat bahawa Sunnah adalah adat yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW kepada umat Islam. Jika semua umat Islam mengamalkan Sunnah yang ditunjukkan oleh baginda, alangkan cantiknya kehidupan umat Islam. Itulah adat umat Islam.

Bayangkan jika semua umat Islam diseluruh dunia mengikut Sunnah yang sama, kecantikan Islam akan dapat ditonjolkan kepada orang-orang bukan Islam. Kita tidak perlu lagi hidup berpandukan adat setempat, kerana adat setempat banyak kekurangannya, tetapi hidup berpandukan Sunnah baginda SAW.

Sebenarnya sunnah baginda meliputi setiap aspek hidup kita, semuanya peraturan hidup yang akan membawa kita ke arah kejayaan. Jika kita baca kitab-kitab sunnah, kita akan dapati panduan lengkap serta menyeluruh dalam setiap aspek hidup kita. 

Indahnya Islam yang diajarkan kepada kita...Indahnya jika kita mengikutinya secara menyeluruh. 

Selagi kita berpegang kepada adat setempat, selagi itulah ada keperluan kita yang tersekat, akan tetapi apabila kita hidup berpandukan kepada sunnah, insyaAllah kita akan tenang, kerana asasnya adalah "لا إله إلا الله محمد رسول الله".

Susahkan untuk kita hidup berpandukan sunnah sepenuhnya?
Bagi saya ia tidaklah sesusah mana, lebih-lebih lagi bagi kami yang berkahwin berlainan bangsa. Apakah kami akan mengikut adat Melayu ataupun adat orang Arab?

Keputusan kami ialah tidak perlu mengikut mana-mana adat, tetapi menghidupkan sunnah, iaitu adat yang diajarkan oleh baginda Rasulullah saw.

Anak-anak juga tidak perlu memikirkan tentang adat, tetapi diingatkan tentang Sunnah, kerana itulah panduan hidup seorang Muslim yang menyeluruh. 

Apakah orang yang mengikut sunnah akan merasa tertekan dengan peraturan Islam? Bagi saya, tidak sama sekali, kerana apabila kita membulatkan kepercayaan kita kepada Islam yang dianuti, kita akan redha mengamalkan setiap adat dan peraturan hidup seorang Muslim. Fikir-fikirkanlah...

Hidup bebas tanpa adat setempat tetapi berpandukan Sunnah Baginda Rasulullah saw. 
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

Bagi surirumah pula, apabila kita mendidik anak-anak kita hidup berpandukan sunnah, kita tidak perlu merasa risau, kerana Sunnah Rasulullah meliputi perkara aqidah, ibadah, sosial dan politik. Insya Allah aqidah anak-anak kita akan terselamat daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak betul.

Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk sama-sama menghidupkan sunnah dalam keluarga kita. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas