Jangan Begitu Mudah Menghukum

Pada awal bulan ini saya  telah berkesempatan untuk hadir dalam satu kuliah  agama yang diadakan disini, dengan penceramah  yang didatangkan khas dari tanahair.

Sememangnya saya telah begitu lama terpisah daripada kuliah-kuliah  sebegini, jadi perasaan ingin mengulang kembali kenangan lama menghadiri kuliah-kuliah agama subur kembali alhamdulillah.

Betapa besarnya harapan saya agar kuliah tersebut mampu memberi input-input baru kepada saya, tapi sayang...

Inilah kuliah pertama yang  saya pernah hadiri dalam hidup saya, dimana penceramah begitu beria-ia menunjukkan kesilapan dan keburukan orang lain secara jelas. Bak kata suami saya (yg agak2 faham b. melayu): itulah contoh orang yang telah didoktrinkan oleh Saudi ataupun Wahabi.

Seingat saya, daripada mula mengenal belajar agama di Maahad Muhammadi kemudian berpindah ke UIAM, juga  dalam bidang agama, saya selalu ditemukan dengan guru-guru yang begitu beradab dalam menghukum orang lain.

Kebanyakan ustaz-ustaz saya tidak pernah  menceritakan keburukan Muslim lain walaupun ketika membahaskan tentang aqidah syiah, dan lain-lain. Itulah adab kita sebagai seorang pelajar bidang agama.

Namun kali ini saya terpaksa tunduk mendengar segala pendapat beliau yang begitu mudah menghukum orang lain sebagai kafir, hinggakan saya terfikir, "apakah layak kita datang ke rumah orang kemudian mencemuh tuan rumah sebagai 'kafir'?"

Berapa lama kita bergaul dengan mereka untuk melayakkan kita menghukum mereka?
Tahukah kita siapakah guru-guru yang mengajar anak-anak mereka?
Pernahkah kita melihat akhlak baik mereka yang tidak ada pada orang-orang Muslim lain?

Alhamdulillah...usia dewasa sempurna menjadikan saya mampu menahan sabar daripada menjawab tuduhan dan lontaran pendapat beliau. Saya tidak mahu menjadi orang yang menjatuhkan  air muka orang lain, ketika mana beliau begitu disanjung...saya cuma berdiam diri bila suami menyoal mengapa saya tidak cuba membetulkan fakta tersebut?

Alhamdulillah...Allah memberi peluang kepada saya untuk melihat dan mendengar apa realiti ulama-ulama muda Malaysia masa kini...terfikir juga 'apakah yang mereka perjuangkan?'

Moga Allah membuka mata dan hati mereka untuk memahami hakikat yang mereka perjuangkan. Moga Allah menyatukan hati-hati pendakwah yang begitu ikhlas untuk membawa insan kembali mengenal Islam yang sejati.
Fikir-fikirkanlah...





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?