Santunilah Ibubapamu

Bila banyak berjalan kita akan sempat melihat pelbagai ragam manusia.

Ramai yang menganggap setiap apa yang berlaku berkait dengan adat dan budaya setempat, biarpun kadang-kadang ia bertentangan dengan akhlak seorang muslim.

Namun begitu sebelum kita menghukum sesuatu selidikilah dahulu.

Apa yang pasti, bila wujud perasaan kasih terhadap seseorang kita akan sanggup meluangkan masa kita untuk menyediakan sesuatu yang istimewa buat insan tersebut.

Bila layanan dibuat sambil lewa, itu bermakna kasih itu hanyalah dibibir mulut saja.

Berbalik kepada tajuk 'santunilah ibubapamu', ia adalah hasil pengamatan terhadap amalan yang berlaku didalam beberapa masyarakat yang pernah saya saksikan sendiri.

Meskipun berlainan adat dan budaya, ajaran agama kita adalah satu serta tidak berubah.

Ajaran Islam menitikberatkan tentang berbuat baik kepada ibubapa, terutama bila mereka sudah berusia lanjut.

Dalil-dalil daripada al quran dan al sunnah amat jelas tentang berbuat baik kepada ibubapa.

Namun kadang-kadang kita berdepan dengan budaya yang mengasingkan ibubapa yang lanjut usia, bila ada sesuatu majlis.

Anak cucu seronok bergembira, sedangkan si ayah atau si ibu tua dibiarkan sendiri meskipun si ibu masih mampu bergerak serta mengurusi ehwalnya sendiri.

Jika kita memilih untuk bersama-sama si ibu tua bermakna kita memboikot aktiviti mereka. Bagi yang faham, ingatlah biar hina dimata orang lain tetapi mulia disisi Allah swt.

Santunilah orang-orang tua disisi kita, luangkanlah masa untuk mendengar celoteh mereka.

Berilah mereka peluang untuk bercerita kerana mereka sudah puas mendengar cerita kita semenjak kecil, malah mereka lebih arif tentang kita daripada semua doktor dan segala pakar didunia ini.

Apabila kita mengenepikan insan yang pakar mengenai kita, kita mungkin terkial-kial mencari penawar, sedangkan penawar tersebut ada didepan mata kita.

Jangan dipandang rendah terhadap mereka, terutama ibu kerana beliau mempunyai senjata yang paling mahal iaitu doa. Ya doa seorang ibu...

Moga Allah memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada ibuku. Moga ada sinar bahagia buatmu...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman