Cerita Kangkung

Alhamdulillah syukur kerana masih mendapat kekuatan untuk menulis sesuatu disini.

Sudah dua hari bacaan saya tertumpu kepada isu yang hangat di tanahair iaitu isu kangkung.

Pada mulanya saya begitu terkejut mengapa begitu ramai orang memperkatakan isu kangkung di fb, manakala rakan-rakan di whatsup juga berkongsi cerita sama.

Mungkin ada yang serius, ada yang sekadar membuat lawak, tapi bagi saya ia mengingatkan kisah lama ketika bersama-sama kedua ibubapa dikampung.

Kangkung begitu penting dalam kehidupan kami sekeluarga, sumber sayur untuk keluarga dan sentiasa ditanam ditepi rumah.

Ketika berada dibangku sekolah menengah dan di universiti, ayah selalu diserang sakit sesak nafas, jika ia menyerang keadaan ayah saya seolah-olah orang yang akan meninggal.

Ketika itu ayah mula memohon maaf dengan kami serta menyuruh kami memberitahu jiran terdekat, iaitu sepupunya yang tinggal bersebelahan.

Sememangnya saat-saat itu begitu begitu menyedihkan, apa lagi bila melihat adik-adik kecil mengelilingi ayah.

Ketika itu apa saja yang diminta akan kami tunaikan kerana kami tidak ingin kehilangan ayahanda tercinta.

Selalunya pada saat itu, ibu akan menyuruh saya mencari kangkung, ubat paling mujarab untuk penyakit ayah. Itulah sebabnya kami menanam kangkung ditepi rumah, agar mudah diperolehi ketika kecemasan.

Daripada seorang penakut, saya terpaksa memberanikan diri turun ke luar rumah serta memetik kangkung untuk ubat ayah. Kemudian membersihkannya dan ditumbuk untuk mendapatkan jus kangkung.

Jika ada yang sekadar membuat lawak tentang jus kangkung, bagi saya ia ubat paling penting untuk masalah sesak nafas yang selalu dialami ayahanda saya.

Alhamdulillah jus kangkung segar yang ditumbuk, hijau serta berlendir, itulah ubat yang mula-mula saya pelajari semenjak kecil.

Entah khasiat apa yang terkandung didalamnya sehinggakan ia begitu serasi dengan masalah ayahanda. Sehingga kini saya masih tertanya-tanya apakah rasa jus tersebut?

Itu cerita saya dan jus kangkung, yang menjadi kenangan mahal dalam hidup saya.

Semenjak melanjutkan pelajaran di universiti, hinggalah waktu bekerja serta tinggal berjauhan, saya sudah melupakan kisah jus ini, meskipun penyakit ayah masih berulang sekali sekala, terutama jika ada masalah yang tak terungkai.

Bila isu kangkung tersebar, ingatan saya terus kembali kepada cerita lama yang berlaku didalam keluarga saya dulu. Moga Allah terus memberi kesihatan yang baik untuk ayahanda yang begitu banyak berkorban buat kami sekeluarga.

Berbalik kepada cerita kangkung, apa yang bolah saya katakan ialah orang Malaysia begitu kreatif dan cepat memberi respon. Jika kelebihan tersebut disalurkan kepada jalan yang betul, mereka akan dapat meningkatkan pendapatan yang berganda-ganda.

Begitu juga jika ada kajian khusus tentang khasiat kangkung, mungkin ia dapat membantu insan yang memerlukan rawatan kesihatan berasaskan kangkung.

Jangan diketawakan kangkung, kerana ia begitu bermakna buat kami sekeluarga suatu ketika dulu. Memang tak tahan geli hati dengan pelbagai post mengenainya...

Ada cerita kangkung, lagu kangkung, hatta cerita Hang Tuah dan Maharaja China juga dikaitkan dengan kangkung. Jika tiada kangkung, Hang Tuah tidak mungkin berpeluang melihat wajah Maharaja tersebut.

Kangkung oh kangkung...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman