Tahun Baru - Hijrah @ Masehi

Alhamdulillah kita bertemu pada pagi awal tahun baru masehi 2014. Bertambah setahun lagi bilangan umur mengikut kiraan masehi.

Di sini beberapa hari sebelum bermula awal tahun, banyak mesej disampaikan menganjurkan umat Islam menghidupkan sambutan tahun baru dengan amalan solat sunat.

Sedangkan tiada anjuran sebegitu disebarkan ketika sambutan tahun baru hijrah dua bulan lepas.

Walaupun tiada sambutan khusus, satu perkara penting perlu dimasukkan didalam kefahaman kita tentang masa, iaitu apakah kiraan untuk umat Islam gunapakai sehari-hari?

Sekiranya kita merujuk al-quran, Allah swt ada menyebutkan didalam Surah Al-Taubah, ayat 36,
إن عدة الشهور عند الله اثنا عشر شهرا في كتاب الله يوم خلق السموات واﻷرض منها أربعة حرم ذلك الدين القيم...
"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu DIA menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus..."

Jika kita merujuk ayat di atas, dapat kita fahami bahawa bilangan bulan ada dua belas, tetapi disitu Allah swt menkhususkan lagi dengan kewujudan empat bulan haram.

Daripada ayat tersebut jelaslah kepada kita kiraan yang dimaksudkan adalah kiraan bulan hijrah. Ini kerana didalam kiraan bulan hijrah terdapat empat bulan haram iaitu Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Keempat-empat bulan tersebut adalah bulan-bulan yang dihormati dan tidak boleh diadakan peperangan.

Bilamana kita mengagungkan kiraan Masehi, tiada lagi sifat hormat kepada bulan-bulan tersebut, malah umat Islam tidak segan silu berperang pada bulan tersebut. Inilah yang dikatakan jahil tentang peraturan dan ketetapan Allah swt.

Sebagai seorang Muslim amat perlu untuk kita menggunapakai kiraan hijrah, kerana pelbagai amalan sunat dianjurkan mengikut kiraan hijrah.

Manakala Rasulullah ada memberitahu bahawa kiraan hari dalam sebulan ialah dua puluh sembilan hari, dan ketetapan awal bulan adalah dengan melihat anak bulan.

Begitulah hebat ajaran Rasulullah saw kepada kita, agar kita sentiasa melihat dan berfikir tentang kejadian alam ini. Namun kita lebih selesa mengikut kiraan Masehi, hingga ramai yang tidak tahu bulan apa kita berada sekarang mengikut kiraan hijrah.

Apakah peristiwa penting pada bulan hijrah ketika ini? Sama-samalah kita mencari jawapan serta mencari ibrah dalam sejarah Islam dan Sirah Rasulullah saw berkaitan bulan ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman