Pening dengan Teknologi Baru

Alhamdulillah...
Syukur kepada Allah akhirnya mampu menulis kembali disini selepas lama mendiamkan diri.

Sebenarnya niat untuk menulis selalu ada tetapi asyik bertangguh hingga idea yang diperolehi hilang begitu saja.

Bila sekali sekala menjenguk ke langit terbuka ini, ternyata perkembangannya terlalu cepat...begitu laju mereka berfikir, mencipta produk baru hinggakan kita sebagai pengguna terkial-kial untuk menggunakannya.

Kadangkala terfikir betapa hebatnya aqal anugerah Allah kepada manusia hingga berjaya mencipta pelbagai alat-alatan elektronik, kecil dan besar. Namun begitu kesemuanya didalam kawalan 'mereka', orang-orang Islam masih kekal sebagai pengguna, cuma sekali sekala timbul dengan konsep baru dalam masa yang sama tetap menggunakan hasil ciptaan 'mereka'.

Betapa hebatnya mereka kerana mampu menarik umat manusia daripada segenap pelusuk alam terarah kepada mereka. Apakah rahsia mereka?

Begitulah kurniaan Allah kepada insan yang mahu berfikir dan mencari jawaban kepada Rahsia alam ini. Setiap persoalan mereka terjawab, setiap usaha mereka beroleh kejayaan. Apakah umat Islam akan memperolehi kurniaan yang sama jika berusaha?

Ah...umat Islam masih terlalu jauh tertinggal dibelakang. Jika ingin bersaing kita tidak boleh terlalu mengikut trend 'mereka', kita perlu kreatif meneroka idea baru agar kita tidak terus tertinggal dibelakang. Apakah idea itu?

Mungkinkah hanya saya yang terasa begini? Mungkin juga kerana pening dengan pelbagai program baru ditemui di alam maya. Alam yang mampu mengumpulkan fikiran orang-orang bijak, semuanya diambil dan disimpan dalam khazanah mereka.

Betulkah mereka hanya mengumpulkan fikiran orang-orang bijak sahaja? Bagi saya mereka berjaya mencipta dan mencapai keinginan mereka, mereka mengumpulkan segala maklumat tentang kita, ahli keluarga kita, rakan-rakan karib kita, sedangkan kita sendiri tidak pernah terfikir untuk mendokumentasikannya.

Setiap kali bermula tahun baru, mereka memberi peluang kepada kita untuk melihat hasil usaha mereka dalam membantu kita melihat apakah yang telah kita lakukan pada tahun yang baru berlalu.

Jika didunia ini kita diingatkan tentang apa yang telah kita lakukan setiap saat, jika kali ini kita menerimanya sebagai peringatan tentang janji-janji Allah diakhirat nanti. Hasilnya kita akan memperhatikan setiap tindak-tanduk kita agar apa yang ditayangkan hanyalah yang terbaik dalam hidup kita.

Alhamdulillah syukurlah kepada Allah, Pencipta kita kerana memberi peluang untuk kita belajar dan berfikir daripada apa yang berlaku hari ini. Berdoalah kepada-Nya agar kita tidak terus tenggelam dalam teknologi ini.

Jika ada kebolehan dan kekuatan berusahalah untuk menghasilkan sesuatu yang lebih hebat, hasil khayalan anak-anak muda Islam. Moga Allah mengurniakan ilham yang hebat kepada insan yang layak dalam usaha memartabatkan Islam dimata dunia. Mampukah kita?

Insya Allah kita masih mampu mendidik anak-anak kita untuk meneruskan usaha-usaha kerana hati mereka masih suci, khayalan dan impian mereka masih kuat. Moga mereka berjaya memenuhi impian kita yang masih belum tercapai.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman