Mendidik Pembantu Rumah

Alhamdulillah...syukur kepada Allah kerana mempertemukan saya dengan insan yang memiliki akhlak yang begitu mulia.

Baru sebulan saya mengenali insan tersebut, pertemuan yang tidak dirancang ketika saya menghadiri Nadwah Fiqh yang menghimpunkan ulama sedunia.

Ketika itu saya menunggu sesi sebelah petang, manakala rakan tersebut menunggu suami beliau. Masa kosong tersebut kami isi dengan perbualan yang menyentuh pelbagai isu. Hari-hari seterusnya kami hanya bersapa ringkas, hinggalah pada hari terakhir Nadwah beliau meminta saya mengajar beliau teknik yang betul untuk menulis khat.

Alhamdulillah tempat tinggal kami agak dekat, jadi saya berpeluang untuk menziarahi beliau. Sesungguhnya Allah ingin memberi pelbagai ilmu kepada saya, bila bersahabat dengan beliau.

Di antara pelajaran pertama ialah berbuat baik serta menghargai pembantu rumah. Sememangnya saya begitu kagum dengan cara beliau mendidik pembantu rumah beliau yang berasal dari Etophia. Inilah kali pertama yang mendengar pembantu rumah dilayan sebegitu baik.

Menurut beliau, pembantu tersebut adalah seorang Muslim tetapi hanya mengetahui perkara asas sahaja, serta tidak pandai mengaji quran kecuali alfatihah dan tiga qul.

Jadi beliau mengambil inisiatif menghantar pembantu rumah beliau belajar di masjid berhampiran rumah beliau setiap hari. Dalam masa yang sama beliau menghantar tiga orang anak beliau ke tadika dan pusat asuhan kanak-kanak, manakala dua orang sudah bersekolah.

Setiap pagi pembantu tersebut akan selesaikan tugas membersih rumah sebelum ke kelas untuk belajar selama tiga jam sehari. Alhamdulillah sudah masuk 4 tahun pembantu rumah beliau belajar asas-asas agama serta sudah mampu mengaji quran serta menghafal dua juzuk quran.

Impian beliau ialah supaya pembantu rumah beliau mampu meneruskan dakwah apabila balik ke tanahair nanti. Sekurang-kurangnya wanita buta huruf tersebut mampu balik mengajar umat Islam disana mengaji quran.

Pembantu rumah beliau juga begitu baik, begitu beradab serta selalu tersenyum. Di situ saya belajar apabila kita melayan orang luar dengan baik, hasilnya juga teramat baik untuk kita. Berikanlah ilmu kepada pembantu rumah kita, insya Allah mereka juga akan menghargai tuan rumah tersebut.

Itulah di antara cara kita menghargai pembantu rumah. Moga perkongsian pengalaman sebegini membuka mata kita bahawa mereka juga insan. Bila mereka dilayan dengan cara yang sesuai, mereka juga akan mendidik anak-anak kita dengan cara yang baik. Alhamdulillah kedua-dua pihak beroleh manfaat yang baik.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?