12 Tahun di Oman

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana masih diberi kekuatan untuk berkongsi disini.

Masih terbayang-bayang kali pertama meninggalkan Tanahair tercinta, pelbagai rasa ketika itu...bermula dengan kerisauan pertama kali menaiki kapalterbang dalam jarak jauh, apakah kemungkinan yang bakal ditempuhi disebuah negara asing, sendirian tanpa sanak saudara dan rakan taulan.

Sesungguhnya bila memilih untuk mengikut suami pindah ke tempat baru, saya sepatutnya bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan ditempuhi ditempat baru.

Pejam celik hari ini genap 12 tahun kami merantau, bumi ini menjadi tanah bermastautin, dan tanahair sendiri cuma menjadi tempat menghabiskan masa cuti.

Ketika itu saya tidak menyediakan apa-apa bekal untuk hidup ditempat baru, dalam hati berharap semoga apa yang ditemui nanti baik-baik dan sesuai dengan hati ini. Apa yang dibawa cuma dua buah beg sederhana besar berisi pakaian saya dan empat orang anak kecil.

Alangkah mudahnya hidup ini jika kita mempermudahkannya. Akan tetapi hari ini kami menyediakan empat kali ganda beg setiap kali balik bercuti, cukup-cukup melepasi berat bagasi yang dibenarkan.

Alhamdulillah pesawat Gulf Air selamat mendarat di Lapangan terbang Antarabangsa Seeb lebih kurang jam 9 malam. Jadi kami tidak dapat melihat pemandangan sekitar Muscat ketika itu, hanya sinaran lampu Jalan Sultan Qaboos dan beberapa bangunan yang berada dalam jarak yang jauh antara satu sama lain.

Alhamdulillah kami tiba di rumah pertama kami di Muscat yang berdepan dengan Hotel Ruwi, bersebelahan roundabout Ruwi. Bandar ini agak sibuk jika dibandingkan dengan kawasan lain yang kami lalui sepanjang perjalanan dari lapangan terbang.

Di bandar itulah kami mengenali Oman, yang agak jauh bezanya daripada realiti. Ini kerana bandar itu adalah kawasan yang dihuni oleh orang luar seperti kami, sedangkan orang Oman menetap dikawasan lain.

Namun begitu saya bersyukur kerana saya mampu perolehi segala keperluan rumah dengan mudah walaupun kami tidak memiliki kenderaan sendiri. Alhamdulillah saya tidak merasa kekurangan apa-apa berada disitu melainkan suasana bising dan kesibukan bandar.

Anak kampung sukar untuk menyesuaikan diri dengan kebisingan bandar. Lebih-lebih lagi kami belum pernah tinggal ditengah-tengah bandar seperti waktu itu.

Minggu pertama ketibaan kami adalah seminggu sebelum hari nasional Oman, jadi jalan-jalan berhias indah, TV yang kami ada ketika itu hanyalah TV Oman yang setiap waktu menyiarkan lagu-lagu patriotik Oman. Dalam hati saya berkata, inikah Oman?

Selepas mengetahui bahawa Hari Nasional Oman ialah pada 18 November baru lah terasa betapa jahilnya diri ini ketika itu. Sememangnya saya tidak sempat menyelidiki atau mencari maklumat mengenai Oman ketika itu kerana terlalu sibuk dengan kerja dan menguruskan anak-anak seorang diri.

Sesungguhnya apa yang saya lalui ketika itu amat jauh berbeza daripada apa yang teman-teman disini hadapi hari ini. Teknologi yang ada pada hari ini membantu perantau menyesuaikan diri dengan lebih mudah. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Ia juga berkaitrapat dengan perancangan. Kami tidak sempat merancang, peluang datang dengan tiba-tiba, dalam tempoh seminggu selepas interview ringkas di UIA, suami menerima tawaran untuk mengajar disini, saya dan anak-anak bertolak selepas dua bulan suami bekerja di Oman. Ini kerana saya terikat dengan tugas di UIA. Tempoh dua bulan itu seolah-olah setahun, setiap hari dipenuhi kekalutan dan tekanan. Hanya Allah yang mengetahui segala-galanya.

Sesungguhnya saya menjejaki kaki disebuah tempat asing, begitu asing dikelilingi insan yang berbahasa asing hinggalah saya dibawa ke Kedutaan Malaysia di Muscat dan itulah kami pertama saya bertemu dengan orang Malaysia. Ya setelah enam bulan berada di Muscat barulah saya tahu kewujudan kedutaan Malaysia disini.

Rupa-rupanya banyak lagi yang saya belum tahu mengenai kehidupan seorang perantau. Ramai juga orang Malaysia disini tetapi saya terlontar ditengah-tengah kawasan perniagaan yang dipelopori oleh orang India dan Pakistan.

Kali pertama celik mata waktu pagi apa yang dilihat adalah bangunan kedai yang dilatari bukit-bukit batu dan kosong. Satu pemandangan cantik dan berbeza daripada pemandangan di Malaysia.

Alhamdulillah 'ala kulli hal, cerita merantau ini akan kekal menjadi cerita kami sekeluarga. Segala suka duka berada dirantau adalah sebahagian daripada pengalaman dan ketetapan Allah swt kepada saya, meskipun ia tak pernah terlintas dan tak pernah dirancang.

Apa yang Allah tetapkan akan menjadi realiti meskipun kita tak pernah memikirkannya. Apa yang saya masih ingat adalah pada awal tahun 2005 saya menghadiri pameran International Week di UIA serta singgah di tempat pameran pelajar-pelajar dari Oman, saya sekadar mengucapkan "Cantiknya tempat ini". Ketika itu tak terlintas langsung bahawa saya akan sampai ke bumi ini, dan bermastautin disini. Subhanallah.

Ketika suami sudah berada di Oman saya masih belum tahu bahawa ibu negara Oman adalah Muscat. Ah...satu lagi kejahilan saya tentang Oman. Mana mungkin saya terlepas pandang tentang Oman sedangkan saya begitu minat pelajaran Geografi serta banyak membaca tentang negara-negara luar.

Itulah Oman, negara yang amat asing bagi diri ini, tetapi ia tempat mengumpul pengalaman suka duka menjadi perantau. Moga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk terus berada disini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas