Menghormati Orang Lain

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih mampu menulis disini.

Alhamdulillah tahun 2018 bermula dengan pelbagai aktiviti keluarga, aktiviti kumpulan dan aktiviti diri sendiri.

Alhamdulillah hari ini terlintas dihati ingin berkongsi tentang menghormati orang lain.

Sebenarnya tajuk ini berkaitan dengan beberapa situasi yang kerap saya hadapi, hingga akhirnya saya tidak mampu berdiam diri.

Situasi dimana kita berdepan dengan orang yang bersikap keterlaluan bila bersalaman ketika bertemu rakan. Ini adalah sikap orang-orang Arab yang disebut "mujamalah".

Dalam keinginan mereka untuk menunjukkan bahawa mereka begitu menyayangi antara satu sama lain, mereka bersikap berlebih-lebihan ketika bersalam bila bertemu.

Ketika itu mereka lupa bahawa mereka sedang berada didalam majlis ilmu atau majlis-majlis lain. Kadang-kadang orang lain terpaksa menghentikan aktiviti yang dilakukan hanya kerana kehadiran mereka.

Situasi pertama, saya menghadiri kuliah agama dimasjid disini, kuliah pertama diadakan setelah bercuti beberapa bulan. Ketika penceramah sedang memberi kuliah, beberapa orang wanita terlambat sampai. Apabila mereka memasuki kelas, mereka mula bersalam dengan sahabat yang sampai terlebih awal. Itulah adab mereka yang mesti dilakukan apabila bertemu.

Oleh kerana perbuatan itu mengambil masa agak lama, ketika kumpulan kedua sampai lebih lewat dan ingin melakukan perkara yang sama, penceramah mula menegur serta memberitahu agar mereka menangguhkan hingga ke akhir majlis.

Inilah yang berlaku apabila adat diutamakan, sehingga mereka terlupa menghormati seorang penceramah@guru yang menyampaikan ilmu dihadapan.

Situasi kedua, seorang wanita sentiasa datang lewat dalam program hujung minggu kami.  Diantara aktiviti yang kami adakan ialah bermain bola tampar beramai-ramai. Setiap kali beliau datang,  beliau akan masuk ke dalam gelanggang permainan dan bersalaman dengan semua pemain disitu. Kebiasaannya beliau mengambil masa yang lama untuk bersalam dengan setiap orang, kerana itulah sikap beliau yang saya katakan "mujamalah", iaitu keterlaluan dalam bertemu mata.

Keadaan ini sebenarnya sudah berlarutan lebih dari setahun, setiap minggu orang yang sama melakukan perkara yang sama tanpa menyedari kelakuannya menyebabkan semua aktiviti terhenti agak lama.

Cara mereka berbeza daripada cara kita bersalam bila bertemu. Ini kerana ketika bersalaman itulah mereka bertanya khabar, mengungkapkan saya rindukan awak serta pelbagai lagi.

Apabila ia dilakukan dalam pertemuan biasa, ia tidak memberi masalah, bercakaplah sebanyak manapun.  Akan tetapi apabila ia dilakukan dalam majlis ataupun dalam suasana yang tak sesuai ia menyebabkan orang lain terpaksa bersabar dengan sikap mereka yang tidak menghormati hak orang lain.

Begitulah antara contoh yang terpaksa dihadapi bila bertemu dengan orang yang mempunyai adat yang berbeza daripada kita. Bak kata kawan Malaysia disini, kita terpaksa memilih samaada melayan mereka ataupun cuba hentikan mereka dan beredar.

Walauapapun justifikasi mereka, adab Islam tidak pernah berubah. Ia menjadi kewajiban kita untuk menghormati majlis yang kita hadiri dan orang lain disitu. Janganlah hanya kerana kita seorang, orang lain terpaksa menahan sabar dan berdiam diri.

Didalam Islam, apabila kita terlewat ketika menghadiri satu-satu majlis, apa yang perlu kita lakukan ialah mencari tempat duduk serta duduk dimana-mana ruang yang ada. Ini disebutkan dalam  hadis tentang "meluaskan tempat didalam majlis". Ini adalah sebagai tanda kita menghormati majlis dan orang-orang yang berada disitu.

Apakah tindakan anda bila berdepan situasi sebegini? Adakah terus berdiam diri ataupun meluahkan ketidakpuasan hati kepada si pelaku? Semoga Allah membuka jalan penyelesaian kepada orang yang menghadapi situasi sebegini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas