Cerita Ikan Bilis

Alhamdulillah semalam saya sempat ke Pasar Ikan di Muttrah, pasar yang menjual pelbagai jenis ikan segar yang baru ditangkap. Itulah keseronokan berada disini, dapat merasa ikan segar setiap masa.

Bila ke pasar tersebut saya paling suka meneliti pelbagai jenis ikan yang tidak pernah saya lihat semasa di Malaysia. Kami memang suka mencuba ikan yang berwarna-warni, tambahan pula harganya lebih murah daripada ikan-ikan yang dikenali ramai.

Ketika sedang memilih apakah ikan yang akan dibeli, saya terlihat ikan bilis segar yang kecil. Tiba-tiba teringin mencuba membuat ikan bilis kering, walaupun belum pernah mencuba sebelum ini. Lagipun ikan bilis buatan sini tidak sama dengan apa yang selalu kita makan di Malaysia.

Kemudian saya tertanya-tanya bagaimanakah cara orang membuat ikan bilis? Memandangkan keinginan membuak-buak maka sayapun membeli dua kilo ikan bilis tersebut dengan niat untuk mendapatkan cara membuatnya daripada internet.

Bila balik saya terus mencari cara membuat ikan bilis, susahnya untuk mendapatkan cara yang betul. Ketika itu saya terjumpa tentang bilis Pulau Pangkor yang menceritakan sedikit sebanyak cara mereka membuat ikan bilis. Alhamdulillah akhirnya saya bertemu cara untuk membuatnya, tapi hati terasa sayu bila mengenangkan cara pembuatan ikan bilis tersebut.

Saya teringatkan keadaan ikan yang selalu saya tengok tiap kali ke pasar, kebanyakan ikan masih segar malah ada yang masih hidup walaupun sudah begitu lama dibawa ke daratan. Cara membuatnya ialah dengan merebus ikan tersebut kemudian dijemur. Menurut mereka, ikan-ikan tersebut direbus ketika masih dilautan, kemudian dibawa ke darat. Itulah yang membantu mengekalkan kesedapan ikan bilis tersebut.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana orang yang membuat ikan bilis boleh merebus ikan tersebut ketika masih ditengah laut. Apakah itu bermakna mereka merebus anak-anak ikan bilis tersebut sejurus setelah ditangkap, atau dalam kata lain ketika anak-anak ikan masih hidup lagi? Moga-moga bukan itu cara yang mereka gunakan.

Ketika itu juga hati terasa kesian melihat anak-anak ikan bilis, yang baru sekejap menikmati kehidupan dilaut, kemudian ditangkap dan menjadi makanan kegemaran kami sekeluarga, mungkin orang lain juga.

Itulah cerita ikan bilis, belumpun sempat menikmati kehidupan sudah ditangkap dan dimakan.

Begitulah juga cerita kanak-kanak yang membuat kesalahan, biasanya kesilapan mereka amat mudah dikesan dan senang diselesaikan, sedangkan orang dewasa membuat kesilapan besar tetapi terus bebas meneruskan kesilapan mereka.

Inilah dunia yang nampak hebat dimata kita, sebenarnya teramat kecil, lebih kecil daripada ikan bilis....   


Ulasan

Pak Man laksam berkata…
Salam ziarah dari Pak Man,
Sebenarnya yang kita makan tu bukan saja anak bilis, tapi mak bilis dan bapak bilis juga.....mereka tak akan besar walau dibiarkan hidup lama.

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?