Universiti Kehidupan

Dalam meniti hidup ini kita tidak boleh lari daripada menempuh ujian, malah ujian itulah yang menentukan sama ada kita berjaya atau tidak dalam hidup kita.

Bak kita belajar disekolah dan universiti, setiap masa kita mesti bersedia agar dapat berjaya dalam peperiksaan yang diadakan. Ketika itu kita akan bertungkus-lumus agar sentiasa berjaya. Memang tidak ada orang yang sanggup menerima kegagalan.

Bagi yang menumpukan sepenuh pemikiran kepada prestasi akademik, kita akan menyangka itulah ujian kita yang paling utama. Ke manapun kita pergi kita akan berfikir tentang pelajaran kita. Daripada satu peringkat ke satu peringkat, sekolah, matrik, universiti, kemudian MA dan Phd. Bila habis Phd, kita mengejar Professor pula.

Sememangnya itulah fokus pemikiran orang yang memilih bidang akademik, segala kepuasan hidup akan diperolehi apabila berjaya mencapai impian tersebut.

Itulah sistem universiti yang disediakan oleh insan, sistem yang dicipta kemudian diterimapakai di seluruh dunia, sehingga ramai yang terlupa alam kehidupan realiti.

Alhamdulillah bersyukurlah bila kita sudah berjaya mendapat apa yang dicita-citakan. Sekurang-kurangnya kita telah mencuba dan merasa apa nikmat dan hikmahnya dalam perjuangan pada peringkat tersebut.

Namun begitu ramai yang terkurung dalam universiti tersebut tanpa sempat memikirkan apa sebenarnya yang dicari dari universiti kehidupan pula. Ini kerana universiti kehidupan juga mempunyai pelbagai peringkat yang amat sukar untuk kita fahami.

Malah ramai yang menganggap bila kita sudah berjaya dalam universiti kehidupan, itulah sebenar-benarnya kejayaan hidup kita sebagai insan, walaupun tanpa segulung ijazah.

Apa-apapun kita memerlukan ilmu, sama ada ilmu yang formal ataupun tidak formal. Sekurang-kurangnya orang yang memiliki ilmu formal, melihat setiap masalah yang dihadapi dari sudut ilmunya. Ilmu itulah yang mampu membenteng dirinya daripada melakukan kesilapan ketika membuat keputusan.

Sememangnya universiti kehidupan amat penting dalam hidup kita, ia yang banyak mengajar kita ilmu yang tidak mampu kita cedok daripada institusi pendidikan dimana-mana. Malah corak kehidupan dan ujian yang terpaksa ditempuh juga begitu berbeza antara satu dengan yang lain. Subhanallah. Itulah bukti kebesaran Allah swt.

Bayangkan kehidupan seorang surirumah begitu berbeza daripada kehidupan yang selalu kita kejar diluar. Bila kita redha dan menerima kehidupan dirumah, tanpa mempersoalkan sebab dan akibatnya, kita dapati bahawa Allah swt memang menyediakan pelbagai ruang untuk kita terokai. Malah kita juga akan terasa begitu banyak ruang yang ada untuk kita manfaatkan.

Bayangkan segala urusan yang kita lakukan dengan ketenangan, insya Allah hasilnya juga amat memuaskan hati kita. Itulah hakikatnya kehidupan ini, bila kita mengubah diri kita ke arah yang lebih baik, alam sekeliling kita juga akan menjadi baik. Ketika itu kita akan terasa betapa banyaknya nikmat yang telah disediakan oleh Allah kepada kita, cuma kita kurang mengerti.

Itulah universiti kehidupan yang mengajar kita untuk hidup berpandukan syariat-Nya. Insya Allah banyak kebaikan yang mampu kita perolehi, bila kita mampu meneroka kehidupan ini dari dalam diri serta menerima dengan redha setiap ketentuan Allah kepada kita. 


Ulasan

yayasan-ilmu.blogsot.com berkata…
Assalamualaikum, yg penting ketika hidup itu adalah bersedia untuk melabur untuk mati. Sila layari: yayasan-ilmu.blogspot.com untuk belajar panduan as-Sunnah demi kesejahteraan dunia dan akhirat

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?