Oh Seni Khat...

Alhamdulillah malam tadi kami sekeluarga sempat berkunjung ke Pusat Seni Halus (Funun Tashkiliyyah) berdekatan Massa Mall disini. Semuanya kerana seni khat...kami baru mendapat tahu bahawa ada kelas khat diadakan disitu setiap kali Selasa.

Maka dengan semangatnya kami berkunjung ke situ, tetapi hampa dengan apa yang ada. Ia hanyalah perjumpaan beberapa orang yang berminat dengan seni khat termasuklah beberapa orang yang berminat untuk belajar.

Apa yang menggembirakan kami ialah pertemuan dengan seorang wanita Amerika yang begitu tekun belajar seni khat. Menurut beliau, sebelum ini dia adalah pelukis malah masih lagi melukis, kemudian sejak setahun lepas dia mula mendalami seni khat.

Sebelum ini saya pernah membaca cerita orang Jepun yang memeluk Islam kerana seni khat, seterusnya mempelajari ilmu ini serta menghasilkan karya yang amat hebat serta membuat pameran khat di negara Arab. Apakah yang ada dalam seni ini?

Bila melihat cara mereka belajar, saya terkenang kembali waktu belajar khat dulu, sungguh indahnya waktu itu, sayangnya ramai yang sudah meninggalkan seni ini.

Kumpulan khattat ini menulis berpandukan buku yang sama dengan buku yang kami gunakan 25 tahun dulu, karya penulis khat Iraq. Ini menyebabkan perasaan ingin menulis semula semakin kuat, bila ditambah dengan desakan anak-anak, maka kenalah memikirkan misi untuk seni khat juga.

Kesemua yang hadir semalam memokuskan penulisan khat Diwani, malah menghasilkan khat diwani yang amat menarik. Bila saya bertanya adakah sesiapa yang memilih khat thuluth? Menurut mereka cuma ada seorang sahaja yang mahir mengenainya kerana khat thuluth amat susah untuk dipelajari secara persendirian.  

Moga kami mampu menjadikan seni ini sebagai satu aktiviti untuk merapatkan hubungan sesama kami. Walaupun tidak belajar disitu kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami telah mengenali tempat tersebut, mungkin boleh mendapat manfaat daripadanya suatu masa nanti.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?