Hadis Islam, Iman dan Ihsan

Terfikir lagi, akhlak dan iman dalam hidup kita. Bila kita beriman, akhlak kita akan jadi baik ataupun bila akhlak kita baik, kita akan beriman? Hari ini ramai yang mempunyai akhlak yang baik tapi tiada iman didada, ada juga hubungan dengan Allah begitu hebat, tapi akhlak dengan manusia dan alam sekeliling kosong. 

Indahnya ajaran yang diajarkan kepada kita, serta bersyukurlah kerana kita dilahirkan sebagai seorang Muslim.

Sejauh manapun pengembaraan kita dalam mengenal Allah, akhirnya kita akan kembali kepada hadis Islam, Iman dan Ihsan. Sememangnya kita tidak perlu pergi jauh untuk menghayati agama ini. Namun setiap kali kembali kepada hadis tersebut, kita cuba memahami secara lebih mendalam daripada sebelumnya.

Kadang-kadang terasa seronok bila mampu mengulang-ulang kefahaman tentang konsep tersebut. Apakah Islam? Apakah Iman? Apakah Ihsan? Apakah kita sudah memenuhi tuntutan didalamnya?

Ketika mula-mula belajar hadis tersebut di sekolah Menengah, saya jadi begitu berminat, apatah lagi bila hadis yang sama menceritakan tentang kehadiran malaikat dalam bentuk manusia. Ditambah pula tanda-tanda bila akan berlaku kiamat diakhir hadis tersebut. Perasaan ingin tahu membuak-buak.

Kemudian bila membaca hadis yang sama, saya terkenang kisah mengulang-ulang konsep tersebut semasa menjadi guru suatu ketika dulu. Ketika itu saya tidak mampu mengulangnya untuk kali ketiga kerana hati mendesak untuk terus mencari ilmu. Hati tidak mampu mengulang perkara yang sama tanpa berusaha memperbaiki diri.

Alhamdulillah sekarang konsep tersebut makin diterimapakai serta dijadikan modul motivasi ESQ 165. Moga lebih ramai yang cuba menghayati apakah yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita.

Seorang guru agama yang mengajar subjek yang sama akan mengulang-ulang konsep tersebut setiap tahun, bayangkan jika sepuluh tahun mengajar berapa kali ulangan itu dilakukan, terasa manisnya setiap kali menjelaskan kepada pelajar tentangnya. Subhanallah.

Apa-apapun yang kita lakukan dalam hidup kita, akhirnya kita akan kembali untuk menilai sikap kita terhadap apa yang berlaku. Apakah sikap kita boleh diubah? Ataupun kita memerlukan terapi tertentu untuk mengubahnya? 

Bila kita kembali menghayati apakah maksud Islam, Iman dan Ihsan, kita akan tahu dimanakah tahap keimanan kita ketika ini. Kembali menghayati Islam yang syumul, bukan setakat amal ibadah semata-mata. Moga kita termasuk ke dalam golongan yang mengamalkan Islam secara keseluruhannya.

  



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016