Pasangan Hidup

Suami dan Isteri merupakan entiti masyarakat yang tidak boleh dipandang rendah, peranan masing-masing amat penting dalam membangunkan satu-satu kawasan. 

Jika baik hubungan mereka amanlah masyarakat disekeliling, kerana mereka adalah peneraju masyarakat kecil disekeliling mereka, yang terdiri daripada anak-anak, ibubapa, mertua, adik-beradik dan ipar duai. Pendek kata susunan masyarakat dalam Islam begitu menarik jika kita fikirkannya.

Namun begitu semuanya bermula daripada diri kita, pastikan kita memahami betul-betul apa yang kita mahukan dalam kehidupan kita. Apakah yang ingin kita kejar dalam hidup ini?

Apakah kita benar-benar mencintai kehidupan kita, serta berusaha dengan sebaik-baik cara untuk memperolehi kebahagiaan hidup didunia dan diakhirat. Ataupun kita masih belum mengerti apa sebenarnya yang kita inginkan?

Bila kita tidak jelas apa yang ingin kita capai dalam hidup ini, serta mencarinya daripada orang lain, hingga ke akhirnya kita tidak akan berasa tenang.

Jika kita menyorot kisah sahabat-sahabat Rasulullah saw, kita akan dapati bahawa mereka memiliki personaliti tersendiri yang amat berbeza daripada satu dengan yang lain. Malah bila mereka memilih untuk beriman, mereka sanggup meninggalkan suami atau isteri yang masih belum beriman. Inilah yang dikatakan mereka tahu apa yang mereka inginkan dalam kehidupan mereka.

Apakah kita memiliki prinsip hidup kita? Prinsip hidup yang akan membezakan kita daripada insan-insan lain, agar kita mampu mencapai kejayaan yang hakiki.

Tanyalah diri kita, apakah yang aku inginkan? apakah yang aku mampu buat untuk mencapai keinginan tersebut? Kemudian berusahalah untuk mencapainya.

Jika kita sudah berkahwin, maksudnya kita sudah jelas apa matlamat kita, iaitu kita ingin kongsikan matlamat hidup kita dengan insan lain, iaitu pasangan hidup kita. Apakah kita mampu mencapai matlamat tersebut ataupun kita dibawa arus hidup, dengan nikmat dan ujian dialam perkahwinan.

Kadang-kadang kita merasakan bahawa kita sudah begitu hampir mencapai matlamat kita, tetapi Allah mengujinya dengan ujian pasangan kita. Maka kita terpaksa berundur semula, serta memastikan pasangan kita berjaya melepasi ujian tersebut. Itulah kehidupan dialam rumahtangga, yang mana masing-masing perlu berkorban untuk kebahagiaan bersama.

Asasnya kebahagiaan individu, kemudian kebahagiaan hidup berdua, kemudian kehidupan beranak-pinak, bercucu-cicit dan seterusnya. Indahnya susunan ini subhanallah...

Bila ketenangan sudah bertakhta dihati, kita tidak mudah nampak kesilapan orang lain, apa-apa yang berlaku kita muhasabah diri sendiri, betulkan kesilapan diri dahulu sebelum menunding jari kepada insan disamping kita.

Cantiknya jika kita dapat mempraktikkan teori ini...namun begitu sukarnya untuk memiliki hati yang sentiasa hening serta mampu mengamalkannya setiap masa. Itulah ujian hidup...

Ini kerana realitinya kita lebih senang menyalahkan orang lain, tanpa melihat ke dalam diri dulu. Kita begitu mudah meletakkan penilaian kepada orang lain, serta jarang menyalahkan diri sendiri. Inilah sikap yang sepatutnya kita hindari.

Jadi dalam kehidupan berumahtangga, kurangkanlah memikirkan sifat negatif pasangan kita, serta carilah kebaikan-kebaikan pasangan kita, agar kita terasa senang bila berhubungan dengannya.

Ini kerana pasangan kita adalah sebahagian daripada kita, apakah bahagian kedua tersebut tidak sesuai dengan kita? Adalah mustahil Allah swt ingin menyatukan kita dengan bahagian yang salah. Ada persamaan dalam kedua-dua bahagian yang ditetapkan oleh Allah swt untuk bersatu, yang mana ia memerlukan masa untuk kita fahami dan menemui persamaan tersebut. Subhanallah...

Bagi yang sudah menemui persamaan tersebut alhamdulillah, namun bagi yang masih mencari-cari titik persamaan tersebut, tetapkanlah keyakinan anda bahawa Allah hanya memberikan yang terbaik untuk kita. Jadikanlah setiap ujian dan halangan sebagai satu cara untuk memahami pasangan kita.

Moga Allah merahmati kita semua....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016