'Ammi atau Fushah?

Alhamdulillah...mampu menyambung cerita lagi disini. Dan saya masih lagi ingin menyambung berkenaan penggunaan bahasa.

Kalau di Malaysia, kita bercakap ikut loghat negeri masing-masing, itulah bahasa ibunda kita. Walau bertahun merantau, loghat itu jugalah penambat hati kita dengan tanah tumpah  darah kita. Perkataan 'loghat' agak sama  dengan 'lughah' dalam Bahasa Arab yang bermaksud bahasa. 

Teringat ketika mula-mula tiba di Oman, saya tercari-cari orang yang berasal dari Tanah  Serendah Sekebun Bunga, hinggalah akhirnya bertemu dengan seorang kakak, orang  Terengganu. Bagi saya 'teganu pun teganulah...asalkan dekat dengan loghat aku'.

Rupa-rupanya, bahasa ibunda kita seakan darah daging kita...jika tidak digunakan akan terasa kekurangannya. Itulah hebatnya bahasa...

Bila dah sampai ke arena antarabangsa, kita masih juga bercerita tentang isu yang sama, iaitu bahasa.
Apakah bahasa yang kita ingin gunakan sebagai alat untuk berhubung  dengan insan lain, sekiranya belum mampu berbahasa asing, bahasa yang paling bererti ialah 'senyum'.

Senyum merupakan satu bahasa istimewa, yang boleh digunakan untuk menyatakan isihati kita yang  berminat untuk berkenalan dengan insan tersebut.

Itulah satu-satunya bahasa yang mampu saya gunakan bila bertemu dengan jiran depan rumah yang hanya tahu berbahasa India (Hindi @ Tamil tak tau la...).

Alhamdulillah dengan sedikit ilmu semasa di Malaysia, saya mampu berhubung dengan insan-insan yang mampu berbahasa Arab ataupun Inggeris. Sekurang-kurangnya saya boleh berkomunikasi dengan mudah disini.

Bagi saya, bahasa formal @ fushah adalah alat perhubungan penting dimana-mana saja. Jika di Malaysia, kita boleh berbahasa baku @ bahasa orang Kuala Lumpur bila bertemu dengan kawan dari negeri lain.

Disini, pilihan kami ialah bahasa Arab atau Inggeris. Alhamdulillah orang-orang Oman begitu mengambilberat tentang penggunaan bahasa. Kebiasaannya mereka akan cuba berbahasa Inggeris dengan warga luar, sekiranya mereka tahu bahawa kita mampu berbahasa Arab, mereka akan menggunakan bahasa Arab fushah.

Jadi loghat Oman adalah pilihan terakhir untuk digunakan bila berkomunikasi dengan kita. Maka setelah hampir tujuh tahun berada disini, saya masih gagal untuk bertutur dalam loghat 'ammi Oman.

Namun begitu, orang-orang Arab lain tidak  berfikiran sebegitu, mereka begitu memandang tinggi loghat mereka atau bahasa 'ammi mereka, seolah-olah memaksa kita bertutur dalam bahasa 'ammi mereka, jika kita ingin menjalinkan persahabatan dengan mereka.

Begitulah sukarnya bila kita terpaksa bertemu serta duduk bersama-sama insan yang tidak memahami etika dalam perhubungan sesama manusia.

Sepatutnya bahasa perhubungan antarabangsa adalah bahasa formal bukannya 'ammi, kerana ini akan memudahkan orang-orang yang datang dari pelbagai negara untuk berhubung.

Inilah satu isu yang selalu saya sebutkan dimana-mana.

Bayangkan jika anda berada bersama-sama warga Mesir, Sudan, Jordan, Libya, Oman dalam satu tempat, apakah anda terpaksa belajar kesemua bahasa 'ammi mereka, ataupun memilih menggunakan bahasa fushah?.

Prinsip saya ialah mmenggunakan bahasa fushah, kerana ia memudahkan saya, namun begitu kaedah ini akan menemui jalan buntu jika pihak yang satu lagi tidak cuba memahaminya. Akhirnya saya yang kecewa dan membawa diri...

Begitulah hakikatnya orang-orang Arab yang pernah saya temui, mereka kurang berusaha untuk  memahami orang lain, serta tidak ingin berubah...apa yang selalu disebutkan ialah saya yang mesti belajar bersabar dengan mereka, tapi sampai bila?

Mungkin juga saya yang kurang sabar, serta kurang memahami mereka, sebab memang tak faham apa-apa dan selalu tersilap faham.  Memang pada permulaannya mereka mencuba untuk menggunakan bahasa fushah, dan ia cuma bertahan sekejap saja kerana ia begitu berat buat mereka.

Bayangkan jika bahasa Arab fushah begitu berat buat orang Arab apakah orang ajam mampu menguasai lebih daripada mereka? Kita bukan  saja terpaksa meninggalkan bahasa ibunda kita, kemudian terpaksa belajar bahasa yang baru, maknanya bahasa Arab begitu berat bagi kita...alhamdulillah mampu juga saya kuasai sedikit-sedikit.

Dalam masa yang sama saya begitu kagum dengan mat-mat dan mek-mek Saleh, kerana mereka begitu beria-ia untuk mendalami bahasa Arab. Saya pernah bertemu dengan kumpulan mat dan mek Saleh yang bercakap Arab sesama mereka semata-mata untuk praktikkan bahasa Arab.

Manakala dalam dua minggu ini saya ditemukan dengan mek saleh yang begitu teruja untuk belajar serta bertutur bahasa Arab. Apa yang saya cakapkan kepada mereka, kuasailah bahasa Arab formal kerana ia boleh digunakan dimana-mana negara Arab, tetapi jika mereka kuasai bahasa 'ammi, mereka terpaksa kuasai pelbagai bahasa 'ammi mengikut negara.

Mungkin pandangan saya agak berbeza daripada mereka, kerana mereka menganggap bahasa klasik (fushah) tidak sesuai untuk dipelajari dan untuk hidup dalam satu-satu masyarakat.

Agaknya begitulah sikap insan...kita begitu gembira bila mendengar orang luar bercakap dalam bahasa kita, kerana kita mula merasakan diri kita begitu penting buat mereka. Ada betulnya pendapat mereka. Apakah saya perlu belajar bercakap 'ammi?

Terpaksalah difikir-fikirkan semula...  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016