Cerita Lucu lagi...Huut

Huut...perkataan biasa bagi sesiapa yang belajar bahasa Arab. Bukan nama Nabi Hud, tetapi perkataan yang bermaksud 'ikan paus'.

Jadi hari ini anda dapat belajar dua patah perkataan Arab iaitu 'Huut' dan 'samakah' iaitu ikan.

Mengapa pula saya bercerita tentang perkataan-perkataan ini? Sebenarnya ada kejadian lucu berkaitan dengan 'huut', yang tidak boleh kami lupakan sewaktu ziarah ke Tunisia pada tahun lepas.

Jadi saya cuba coretkan disini sebagai kenangan...

Sebelum berangkat ke Tunisia saya sempat balik ke Malaysia untuk menghadiri kenduri kahwin adik serta menziarahi keluarga dikampung. Jadi saya sempat membeli beberapa makanan kegemaran anak-anak untuk dibawa ke sana, termasuklah ikan bilis. (Anak2 saya suka makan nasi lemak..)

Selepas beberapa hari disana, saya cuba menyediakan nasi lemak untuk anak-anak yang telah bosan makan roti setiap hari. Proses pertama ialah membersihkan ikan bilis. Ketika itu juga biras dan adik ipar ada bersama-sama.

Apabila mereka melihat ikan bilis tersebut, mereka menyebut "huut"...saya terpinga-pinga dan tertanya didalam hati, mengapa pula mereka menyebut 'huut' sedangkan ikan ni kecil saja. Kemudian sekali lagi mereka menyebutkan "huut" sambil menunjukkan kepada ikan bilis tersebut.

Bayangkan apa yang saya fikirkan ketika itu...'ikan bilis aku dah jadi ikan paus', selepas itu saya tergelak, mereka pula yang tergamam bila melihat saya tergelak sakan.

Rupa-rupanya orang Tunisia menggunakan perkataan 'huut' untuk ikan, sedangkan selama ini saya cuma tahu 'samakah'. Jadi bila ikan bilis jadi 'huut', siapa yang tak geli hati.

Selepas itu kami sekeluarga akan ketawa setiap kali melihat ikan, terutama anak perempuan saya yang selalu mengingatkan saya tentang kisah tersebut.

Kadang-kadang kejadian lucu mengingatkan kita kepada insan-insan yang pernah kita temui. Moga Allah merapatkan hati-hati kami.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?