Lemas dalam Maklumat

Teknologi hari ini mampu membantu kita untuk mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat. Ia juga mampu membantu kita menjimatkan masa dan perbelanjaan kita semasa mencari maklumat.

Bayangkan jika selama ini kita terpaksa habiskan masa berjam-jam untuk mencari satu fakta, tetapi hari ini dengan hanya menaip satu dua perkataan, kita mampu mendapatkan rujukan daripada pelbagai buku, termasuklah kitab-kitab asal.

Bagi pelajar dalam bidang agama pula terdapat CD yang memuatkan kitab-kitab asal karangan ulama-ulama silam daripada pelbagai bidang, begitu juga terdapat website khusus untuk rujukan.

Sememangnya semua perkara menjadi mudah dan teramat mudah. Bagi anda yang suka membaca sudah tentu berasa senang dan gembira dengan perkembangan ini.

Namun begitu sebagai seorang ibu, apakah kebanjiran maklumat sebegini membantu kita dalam mendidik anak-anak?
Apakah teknik yang kita akan gunakan untuk mendidik anak-anak kita?

Apakah kita rela anak-anak kita menghabiskan masa menghafal segala maklumat sedangkan maklumat tersebut boleh mereka dapati dengan mudah dimana-mana. Ataupun kita menyediakan anak-anak kita agar bersedia untuk menempuh cabaran zaman mereka, yang ternyata begitu jauh berbeza daripada zaman kita.

Sebenarnya kebanjiran maklumat di dunia terbuka ini mampu menjadikan kita lemas, jika tidak mempunyai teknik-teknik yang jelas semasa menganalsis maklumat.

Apatah lagi anak-anak kita yang masih begitu muda dan mentah dalam menelan segala maklumat yang sampai kepada mereka.

Bagi saya, tugas kita ialah melatih anak-anak kita berfikir serta berhati-hati semasa membaca apa-apa maklumat. Apa yang penting kita mestilah melatih mereka menghadkan jumlah maklumat yang masuk agar mereka tidak lemas.

Lemas dalam air mungkin boleh  diselamatkan, kerana ia cuma lemas fizikal, akan tetapi bagi orang yang lemas didalam maklumat, agak susah untuk mendapat bantuan orang lain kerana dia mungkin nampak biasa dari segi luaran, tetapi dalamannya sudah sarat dengan pelbagai maklumat.

Orang-orang sebegini memerlukan bantuan pakar yang mampu menarik mereka keluar ke jalan yang betul.

Kita juga perlu melatih anak-anak kita agar pandai menapis maklumat yang sampai kepada mereka, serta berfikir terlebih dahulu sebelum menyebarkan maklumat yang mereka terima.

Moga kita mampu mendidik anak-anak kita agar bersedia menghadapi cabaran zaman mereka. Kitalah yang mesti mula berubah, mula bersikap terbuka dengan cabaran zaman ini, kerana cabaran zaman anak-anak kita lagi besar.

Jadi sediakanlah mereka agar sentiasa bersedia dengan kekuatan iman dan fikiran yang mantap, agar mereka berjaya dalam kehidupan mereka.

Ulasan

Unknown berkata…
Anak2 perlu meminta pendapat atau bertanya pada kedua ibubapa/cikgu tentang apa saja maklumat yang baru mereka ketahui. Ibubapa pula jangan pandang remeh dgn soalan anak2 kerana mereka akan mencari jwpn sendiri jika tiada respon.
Unknown berkata…
salam kenal kak..sama2 kita diperantauan. ada baik buruk kecanggihan teknologi sekarang. Pendedahan pada anak2 amat2 bergantung kepada ibu bapa mereka dalam bagaimana menentukan acuan mendidik. Saya pernah ditanya dalam satu forum pelajar di jordan, ibu-ibu muda ini risau mereka kan masih belajar banyak masa dihabiskan diluar. Sama-sama kita berkongsi pandangan

wallahu'alam

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas