Cerita Lucu bila berbahasa 'Ammi

Alhamdulillah kami sekeluarga dah terbiasa menggunakan bahasa Arab formal apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan disini. Anak-anak juga sudah biasa bila digelakkan oleh rakan-rakan mereka kerana menggunakan bahasa Arab fushah.

Ini kerana syarat untuk bertutur bahasa Arab ialah menggunakan perkataan formal, sesiapa yang menggunakan bahasa 'ammi' tidak akan dilayan.

Anak perempuan saya menyatakan bahawa beliau merasa yakin bila berbahasa formal, terutama semasa didalam kelas. Kelebihan ini membantu beliau untuk cemerlang dalam pelajaran beliau.

Manakala anak lelaki pula memberitahu bahawa mulai tahun ini, guru bahasa Arab beliau mewajibkan penggunaan bahasa Arab formal, sesiapa yang menggunakan perkataan 'ammi' akan dirotan. Alhamdulillah beliau tidak menghadapi masalah kerana kebiasaan bertutur dengan struktur ayat yang betul semenjak kecil.

Namun begitu ada juga cerita lucu berlaku berkaitan penggunaan perkataan 'ammi'. Disebabkan terlalu fokus kepada penggunaan bahasa formal, kami kurang menitikberatkan untuk memahami perkataan 'ammi' yang digunakan oleh rakan-rakan.

Salah satu perkataan biasa digunakan oleh orang-orang Mesir ialah 'amil 'eih', satu bentuk ucapan yang biasa disebut, setiap kali mendengar perkataan tersebut maka saya akan menjawab apa yang saya sedang buat ketika itu, begitu juga anak perempuan saya. Kami menganggap bahawa ''amil 'eih" bermaksud 'sedang buat apa?' iaitu daripada perkataan "ayyi 'amal"...

Suatu hari anak perempuan saya memberitahu bahawa 'amil 'eih' bermaksud "apa khabar?" Maka tergelaklah kami mengingatkan jawapan-jawapan yang selalu kami sebutkan tiap-tiap kali bertemu rakan Mesir.

Manakala di Tunisia perkataan 'labas' sentiasa diucapkan setiap kali bertemu, iaitu seolah-olah pertanyaan apa khabar. Begitu juga setiap kali berpisah mereka akan mengucapkan "'ala khair". Bila dah dibiasakan termasuk juga perkataan-perkataan 'ammi' kedalam penggunaan seharian.

Bila kita tidak mampu memahami perkataan yang diucapkan, maka kami cuba mencari perkataan-perkataan Arab yang seakan-akan perkataan yang digunakan oleh mereka. Jika betul maka kami bertuah, tetapi jika silap maka tersilaplah pemahaman kami.

Semasa berkunjung ke Tunisia, kami sempat belajar beberapa perkataan 'ammi' seperti 'cilaka' bermaksud selipar, 'karahba' bermaksud kereta.

Dan nak dijadikan cerita pada suatu hari semasa kami berada di Pantai Bu Jaafar, khemah kami dijadikan tempat simpan barang. Beberapa orang Tunisia yang ingin mandi meninggalkan barang-barang berharga mereka dengan saya, hinggakan sayapun pelik.

Ada seorang perempuan meninggalkan beg duit beliau kepada saya, kemudian apabila beliau datang semula, beliau memberitahu 'cilaka..cilaka', ingin memberitahu bahawa selipar beliau yang ditinggalkan ditempat lain telah dicuri. Nasib baik saya telah belajar perkataan tersebut, jika tidak mesti terasa nak marah, kerana dalam bahasa  kita 'celaka' bermaksud ingin mengutuk.

Begitulah dalam keghairahan ingin menggunakan bahasa Arab formal, mahu tak mahu kita terpaksa mengetahui perkataan 'ammi' agar tidak silap dalam pergaulan.

Namun begitu ramai yang tidak dapat membezakan perkataan Arab 'ammi' dan perkataan formal. Ini memberi kesan dalam pembelajaran Bahasa Arab, terutama bagi orang yang baru belajar bahasa Arab serta belajar dengan orang Arab yang biasa menggunakan percakapan 'ammi'.

Jadi sekiranya ingin mahir dalam Bahasa Arab tidak dapat tidak kita mesti berguru dengan orang yang betul-betul mahir dalam Bahasa Arab, bukan sekadar tahu bahasa Arab.

Ulasan

Unknown berkata…
Seronok kalau anak boleh berbahasa Arab tapi sayang, kenapa Malaysia tidak jadikan bahasa Arab sbg wajib dlm peperiksaan ye? Teringat seorang anak makcik yg di suruh belajar bahasa cina, katanya...kenapa tak suruh dia belajar Arab? kan boleh faham bila baca alquran..emak dia pun terdiam.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman