Peliknya Ramadhan Disini!

Ramadhan Kareem...

Bulan mulia ini sudah hampir ke penghujungnya, apakah perasaan kita disaat ini? 

Moga wujud perasaan baru, serta hati-hati yang baru yang  telah berjaya dididik sepanjang bulan Ramadhan kali ini.

Tulisan kali ini hanyalah sekadar ingin mencatat kata-kata dan komen anak-anak sepanjang menunaikan puasa tahun ini. 

Ia bukanlah untuk membanggakan anak-anak saya, tetapi hati saya begitu tersentuh dengan komen-komen mereka, biarlah ia dicatat disini agar ia menjadi panduan mereka suatu hari nanti.

Inilah kali pertama mereka berpuasa penuh ditanahair, dalam suasana yang cukup berbeza daripada Ramadhan yang lepas.

Alhamdulillah, selalunya komen positif yang  keluar berpandukan pengalaman mereka berpuasa selama ini. 

Alhamdulillah juga kerana amalan yang disemai selama ini mampu lekat dihati mereka. Saya tidak mementingkan jumlah ibadah yang dilakukan tetapi pemahaman mereka apakah erti berpuasa. 

Jika  kefahaman ini terus subur, insya Allah mereka mampu mendidik generasi selepas mereka bila mereka dewasa nanti. 

Diantara kepelikan Ramadhan disini ialah (berpandukan komen anak-anak):

1. Program masakan dan iklan makanan begitu banyak disiarkan di TV seolah-olah  ingin membangkitkan nafsu makan orang yang berpuasa. "Apalah TV ni sekejap-sekejap iklan makanan, sekejap sekejap iklan makanan, macam-macam... kita kan berpuasa"

2. Bazaar Ramadhan disana-sini..."ramainya orang jual makanan!". "orang beli makanan kat situ, kotor la banyak habuk tepi jalan". Itulah komen mereka setiap kali kami melepasi kawasan menjual makanan disepanjang jalan, terutama di kawasan Kubang Kerian yang selalu penuh-sesak dengan orang membeli makanan. Alhamdulillah mereka tidak meminta untuk dibelikan makanan buat mereka.

3. Cepatnya Ramadhan nak habis...mengapa  sekejap saja Ramadhan kali ini? Mungkin juga sebelum ini mereka masih kecil, dan berpuasa di tempat yang melalui tempoh berpuasa yang agak panjang. Di sini mereka keluar bermain setiap hari sehingga lupa tentang puasa yang dilaksanakan, jadi mereka merasakan masa berlalu begitu pantas. 

4. "Kita kan masih dalam bulan Ramadhan, kenapa asyik ada lagu raya aje?". Inilah kali pertama mereka mendengar lagu-lagu raya dipasang diradio-radio dan TV. 

5. "Apa la cerita macam tu dalam TV, tengok kartun lebih baik". Itulah kata-kata mereka merujuk kepada drama-drama cinta yang  pelbagai tajuk, dengan aksi pelakun yang tidak mengikut syarak.

Itulah diantara luahan mereka pada Ramadhan tahun ini, alhamdulillah bukan makanan yang diminta kerana mereka sudah terbiasa berbuka puasa dengan segelas susu coklat, buah-buahan dan makanan ala kadar.

Moga catatan ini menjadi sumber untuk kita berfikir, apakah bentuk puasa yang kita tanamkan dalam diri anak-anak kita? 

Moga Ramadhan kali ini dapat mendidik kita mengawal nafsu kita, nafsu makan dan nafsu berbelanja...

Alhamdulillah 'ala kulli hal.   




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman