Mencintai Rasulullah saw

Alhamdulillah hari ini kita mulakan kembali perbincangan tentang hadis-hadis nabi. Di antaranya ialah hadis :
لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين
yang bermaksud
 "tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah kamu mencintai diriku (Rasulullah saw), melebihi cintamu kepada bapamu, anak-anakmu dan seluruh manusia lain."
 
Dalam kehidupan kita didunia ini, kita mestilah meletakkan kasih dan sayang kita mengikut turutan yang diajarkan kepada kita iaitu mencintai Allah, Rasulullah, ibubapa kemudian barulah kita letakkan kasih dan sayang kita kepada insan-insan lain.
 
Mengapa kita diajar untuk meletakkan Allah dan Rasul-Nya sebelum kita mencintai makhluk Allah yang lain? Semuanya adalah untuk manfaat diri kita, kerana bila kita meletakkan kedua-duanya mendahului makhluk lain, kita akan lebih tenang dalam melalui hidup kita.
 
Jika mencintai Allah dan Rasul-Nya yang dijadikan tujuan utama, segala urusan lain adalah sampingan semata. Segala tujuan hidup yang terarah kepada mencintai Pencipta kita, akan memudahkan perjalanan kita mencapai matlamatnya, kerana DIA yang berkuasa ke atas segala-galanya.
 
Maka berusahalah untuk meletakkan Pencipta kita di tempat teratas dalam hati kita.
 
Kemudian bila kita menyatakan kecintaan kita kepada Pesuruh Allah, maka kita akan berusaha untuk mengenali baginda sebaik-baiknya. Apabila kita telah mengenali baginda, maka banyak urusan kita akan berpandukan sunnah baginda...alangkah indahnya hidup kita bila setiap langkah yang diatur bersandarkan sunnah baginda.
 
Apakah kita betul-betul mengenali baginda? Adakah tempat untuk baginda dalam hati kita? Moga Allah memudahkan kita untuk mencintai baginda...
 
Apabila kita mencintai baginda dengan sepenuh hati, semestinya hati kita teringin untuk mengetahui sejarah hidup baginda, apakah amalan-amalan baginda, liku hidup baginda serta pelbagai lagi perkara berkaitan dengan baginda, kesemuanya boleh didapati dengan mempelajari sunnah baginda.
 
Tidak rugi kita menghabiskan masa menghayati perjalanan hidup baginda, serta berusaha untuk mengamalkan sunnah baginda, kerana ia amat bersesuaian dengan fitrah hidup manusia.
 
Allah swt juga ada menyediakan balasan yang besar bagi orang2 yang mencintai Rasul-Nya...sama-samalah kita menunjukkan kecintaan kita kepada baginda dengan menghidupkan sunnah dalam kehidupan kita sehari-hari.
 
Moga Allah swt meletakkan kita bersama-sama dengan orang yang kita cintai diakhirat nanti. Amiin.
 
 
 
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?