Bukan Bidang Saya!

Alhamdulillah akhirnya tergerak tangan ini untuk menaip entri baru disini. Moga segalanya akan dipermudahkan oleh-Nya.
 
Ini bukan bidang saya...saya tidak mahir dalam ilmu-ilmu sebegitu...ye ke tak tau, bukan bidang awak ke?
 
Dimana-mana kita melihat orang berlumba-lumba untuk mengkhususkan diri dalam bidang-bidang tertentu. Apabila sudah berjaya, maka mereka akan dianggap sebagai pakar bidang tersebut.
 
Betulkah kita sudah menjadi pakar dalam bidang tersebut dengan hanya segulung sijil atau ijazah?
 
Bila bercerita tentang bidang dan kepakaran, saya teringatkan satu hadis yang menjadi satu prinsip bagi saya..."apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan pakarnya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat".
 
Sebenarnya hadis inilah yang banyak mengingatkan saya, agar berhati-hati untuk berkata-kata, terutama bila tajuk tersebut bukanlah bidang saya. Jika dalam bidang sendiripun saya masih kurang yakin untuk menegaskan tentang sesuatu, kerana ilmu kita hanyalah terlalu sedikit, jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu Allah swt.
 
Jika berpeluang hayatilah beberapa ayat akhir surah Al-Kahfi, dan ayat daripada Surah Luqman yang menceritakan bahawa ilmu kita ini terlalu sedikit, seumpama setitis air yang jatuh apabila jari kita dicelup ke dalam air laut yang luas terbentang. Itulah ibarat ilmu kita...
 
Namun begitu kadang-kadang kita dipertemukan dengan insan yang terlalu yakin dengan ilmu mereka, seolah-olah mereka serba tahu, meskipun ia bukanlah bidang mereka...moga kita dijauhkan dari sifat ini.
 
Fenomena hari ini, kita sentiasa melihat insan yang begitu pakar, mampu menjawab segala persoalan hukum yang ditanya oleh pendengar...realiti yang terpampang dimedia massa hari ini.
 
Mereka cuba menggambarkan bahawa mereka mengetahui segala hukum-hakam dan persoalan manusia...itulah kehebatan pada pandangan mereka. Sedangkan mereka lupa ulama-ulama silam tidak segan-silu mengaku 'saya tidak tahu', serta lebih banyak diam daripada menjawab persoalan manusia.
 
Sekiranya ia memang bidang dan kepakaran kita, dan ia berkaitan hukum, kita perlu berhati-hati, kerana ulama bersepakat bahawa 'ada hukum yang berubah mengikut zaman dan tempat'. Jika masih belum sampai ke peringkat 'mujtahid' maka berdiam itu lebih baik, kerana kita akan terselamat daripada menyebarkan kesilapan.
 
Inilah satu kelemahan yang saya akui...bak kata ulama 'amatlah kurangnya ilmu fiqh dikalangan ahli hadis'. Saya akui hadis-hadis Rasulullah begitu banyak, kadang-kadang kita akan bertemu dengan hadis yang bertentangan maksudnya dalam tajuk yang sama. Jadi apakah tindakan kita bila bertemu dengan perkara sebegini?
 
Serahkan kepada ahlinya...in shaa Allah segala kekeliruan akan dapat diuraikan.
 
Disinilah kepentingan ilmu-ilmu asas seperti ulum quran, ulum hadis, ilmu usul fiqh serta pelbagai lagi ilmu yang diperkenalkan oleh ulama-ulama silam.   
 
Konsep saya mudah...minta tangguh daripada menjawab persoalan yang kita tidak yakin, kemudian membuat rujukan serta bertanya kepada yang pakar mengenainya. Janganlah terlalu ingin dipandang berilmu hinggakan kita terlalu memudahkan pasal agama sendiri.
 
Moga Allah membuka pintu hati saya untuk memberikan hanya yang sahih...serta bersikap terbuka serta berlapang dada menerima kritikan dari orang lain. Amiin. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman