Bermain dengan Anak-anak

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih mampu berkongsi cerita disini lagi.

Alhamdulillah syukur sekali lagi kerana Allah menyelamatkan kami di bumi Muscat daripada musibah ribut pasir yang mengganas sejak beberapa hari lepas di Semenanjung Tanah Arab.

Mengikut ramalan jabatan meterologi Oman, ribut pasir akan sampai ke bumi Muscat semalam, akan tetapi selepas asar keadaan masih cerah seperti biasa. Maka kami mengambil peluang malam tadi untuk keluar menyedut udara segar ditaman sebelum keadaan cuaca lebih buruk.

Awal pagi ini kami masih memerhati keadaan udara diluar serta berdoa agar keadaan udara tetap segar seperti biasa. Alhamdulillah petang tadi kami masih mampu keluar meneruskan aktiviti keluarga seperti biasa.

Alhamdulillah sudah hampir sebulan kami sekeluarga mula bermain bola tampar bersama-sama di Taman Qurum.


Beginilah aktiviti kami suami isteri setiap minggu, melayani minat anak remaja. Suami sentiasa mengikut keinginan anak-anak lelaki beliau bersukan setiap kali hujung minggu. Antara aktiviti mereka ialah bermain bolasepak, bola tampar, badminton, berenang dan menyelam.

Memandangkan kami jarang berkumpul dengan keluarga lain, jadi kami banyak menghabiskan masa melayani anak-anak. Sebenarnya sukan bola tampar ini adalah permintaan anak perempuan yang ingin bermain bersama-sama keluarga.
Alhamdulillah bila bermain bersama-sama anak-anak kita melibatkan diri secara langsung dengan mereka. Kami mampu memberi nasihat dan panduan terus sambil bermain.

Ketika bermain kita dapat melihat tindak tanduk anak-anak, tahap tumpuan mereka, semangat kesukanan mereka serta pelbagai tindakbalas sepontan yang terzahir ketika bermain.

Pada awalnya saya hanyalah penonton setia ditepi padang, akhirnya terpaksa bermain untuk memenuhkan bilangan pemain. Alhamdulillah bila umi masuk bersama-sama, suasana lebih ceria dan santai.

Sesungguhnya banyak ilmu dan pengalaman mampu kami perolehi setiap kali bermain bersama-sama. Apa yang penting anak-anak dapat menyimpan kenangan masa remaja mereka ditemani oleh ibubapa.

Sebenarnya bila bermain bersama-sama kita menunjukkan kepada mereka tahap kesungguhan yang tinggi serta tidak mudah mengaku kalah, meskipun bermain ketika berumur hampir setengah abad.

Alhamdulillah, moga rezeki sihat dan cergas ini berterusan dan dihargai oleh anak-anak, serta akan menjadi panduan mereka bila membina keluarga sendiri suatu ketika nanti. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas