Hati Seorang Ibu

Bismillah...
Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana masih beroleh kekuatan untuk menulis di sini.

Sebenarnya banyak cerita yang ingin saya kongsikan, agar ia menjadi panduan diri ini suatu ketika nanti. Juga panduan buat wanita yang membaca coretan ini.

Sesungguhnya Allah swt menduga kita dengan cara yang berbeza. Apabila kita bertemu dengan insan yang menempuh ujian lebih berat, kita terus bersyukur dengan ujian diri sendiri. Ketika itu kita nampak betapa kecilnya ujian diri sendiri.

Petang tadi saya dipertemukan dengan dua orang ibu yang sudah begitu berusia didalam satu majlis di sini. Dua orang wanita hebat suatu ketika dulu, tetapi menyimpan pelbagai kisah hidup yang menyedihkan.

Entah kenapa hati saya bagai ditarik-tarik untuk bersembang dengan mereka, ketika rakan-rakan bergelak ketawa diruangtamu majlis. Rupa-rupanya Allah swt ingin memberi peluang kepada saya mendengar pengalaman yang begitu bermakna daripada mereka.

Masih terbayang-bayang wajah mereka diruang mata, disebaik ketenangan wajah tersimpan pelbagai cerita sedih. Ya Allah bahagiakan hati mereka, berikanlah ketenangan kepada mereka, leraikanlah permasalahan mereka serta berikanlah kekuatan kepada mereka. Aamiin.

Bila bersembang dengan mereka, hati terus teringat kepada ibu sendiri di kampung. Moga Allah memberi kekuatan dan ketenangan kepada ibuku, aamiin. Sememangnya kita tidak akan merasai kedukaan insan lain kecuali bila kita sanggup duduk dan mendengar kisah mereka.

Bagi saya, kita tidak perlu keluar begitu jauh daripada tanahair kita untuk mencari pengalaman hidup. Namun Allah aturkan di sini saya bertemu dan berkenalan dengan ibu-ibu tersebut dan beberapa orang ibu lain. Subhanallah.

Kesimpulan saya, Allah swt mempertemukan kita dengan insan tersebut bersebab, jadi manfaatkanlah pertemuan tersebut agar ia menjadi sumber ilmu dan pengalaman. Alhamdulillah syukur di atas kurniaan ini, syukur juga kerana mendidik diri ini untuk menjadi seorang pendengar.

Jika dulu saya lebih suka bercakap, berhujah dan mengkritik bila berdepan sesuatu yang bertentangan dengan fikiran sendiri, alhamdulillah kini saya lebih suka mendengar. Sesungguhnya perasaan kasih akan mudah diwujudkan apabila kita mampu menjadi seorang pendengar yang setia.

Di sini saya belajar mengerti hati seorang ibu yang terpaksa berpisah jauh daripada anak-anak yang merantau ke luar negara. Ketika anak-anak bergembira dengan pendapatan lumayan, jauh di tanahair si ibu merindui mereka. Mungkin itu juga yang dirasai oleh ibu dan ibu mertuaku ketika ini. Moga Allah merahmati mereka, aamiin.

Ketika cuti, anak-anak melancong ke pelbagai negara untuk mengenali tempat baru, sedangkan budget yang sama jika digunakan untuk bertemu ibunda, betapa besar pahala yang mampu diperolehi. Bagi saya ketika ini kita mestilah bijak memilih agar hati seorang ibu tetap terjaga.

Inilah fenomena baru dalam arus globalisasi, si ibu yang pada mulanya terpaksa merelakan diri berpisah dengan anakanda ketika zaman belajar, kemudian mengulanginya sekali lagi ketika anak-anak sudah bekerja. Saya yang mendengar terasa betapa berat ujian mereka, apatah lagi diri yang melaluinya.

Moga kita mampu mengharunginya dengan keimanan. Aamiin.


Ulasan

Aliza Yunus berkata…
Salah seorang ibu tersebut telah menerima jemputan Ilahi sewaktu dalam perjalanan pulang ke tanahair hari Jumaat 1/5/2015 lepas. Moga Allah merahmati arwah serta menempatkan beliau di kalangan hamba-hambanya yg soleh. Al-fatihah.

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016