Ada Apa di Tangan?

Banyaknya ilmu yang boleh kita dapat dari tangan kita. Sekiranya nak dikaji satu persatu boleh tulis sebuah buku. Begitulah hebatnya ilmu yang Allah kurniakan pada manusia.

Mengapa saya pilih tangan? Sebab tangan inilah yang menaip huruf-huruf di keyboard ni. Kalau tak ada tangan, nak menaip dengan apa ye? kaki kot...wallahua'lam. Oleh itu bersyukurlah kerana kita dijadikan sempurna kejadian, ada tangan boleh menulis, memasak, makan, pegang anak, basuh baju serta pelbagai kerja lain. Boleh juga belai anak dan suami.

Semasa saya bekerja di Johor, saya berjiran dengan satu keluarga, si isteri cuma memiliki satu tangan saja, tapi masya Allah beliau amat hebat, mampu memasak makanan yang sangat sedap. Sampai kini saya masih teringat lauk ayam masak pedas resepi beliau. Itu dah jadi kenangan...

Tapi yang nak diceritakan disini ialah tangan yang Allah berikan kepada kita ada pelbagai fungsinya. Itulah sebabnya orang yang berfikir mampu menghasilkan ilmu-ilmu khas berkaitan dengan tangan. Itu belum termasuk kaedah perubatan menggunakan tangan. Subhanallah.

Masa sekolah menengah ramai kawan-kawan ingin tengok tangan, nak tahu aliran rezeki, kitapun tunjukkan, saja nak seronok. Lepas tu datang yang lain nak tengok pusaran di tiap jari, ada siput ke corak biasa. Mereka kata kalau ada siput di jari maknanya kreatif, tapi di jari saya tak ada satupun bentuk siput tapi alhamdulillah saya boleh menulis khat dengan kreatif, dan pernah memenangi pertandingan sampai peringkat kebangsaan. Maka merekapun tertanya-tanya betul ke bentuk siput menandakan kreatif?

Datang pula yang lain nak tengok bentuk huruf di ibu jari, katanya awal huruf nama bakal suami. Macam-macamlah tafsiran orang mengenai tangan ni. Yang saya tahu Allah menjadikan kita mempunyai dua tangan dan lima jari. Itulah diantara anggota badan yang akan diteliti semasa bayi baru lahir. Berapakah bilangan jari bayi tersebut?. Bila diceritakan pada anak-anak mereka tergelak.

Yang lain pula menceritakan bahawa ada bentuk angka dalam tulisan Arab di tangan yang menunjukkan nombor 18 di tangan kanan, dan nombor 81 di tangan kiri, bila dicampurkan jadi 99, sama dengan 99 asma al-husna. Saya katakan itu nombor dalam tulisan hindi, bukan tulisan Arab. Datang yang lain pula menyuruh tengok dibelakang tapak tangan, susunan jari-jari kita menunjukkan nama "Allah" dalam Bahasa Arab. Alif bermula dari jari kelingking.

Yang lain pula menjelaskan ibu jari boleh digunakan untuk menolak makanan ke dalam mulut. Sekiranya kita tidak mempunyai ibu jari maka cara kita memasukkan makanan ke dalam mulut akan berbeza. Bila datang ke Oman dan melihat adat mereka makan, tak sama pulakdengan apa yang diberitahu sebab orang Oman akan mengepal-gepalkan nasi, kemudian dimasukkan ke mulut tanpa menggunakan ibu jari. Begitulah cara manusia, sebenarnya setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk mengetahui apa yang ada ditangan.

Kalau jadi sirurumah yang memasak makanan dalam keluarga, tangan inilah yang digunakan untuk mengikat kasih sayang keluarga. Orang kata "air tangan isteri dapat mengikat kasih keluarga". Tapi tangan ini jugalah yang asyik terkena air panas, minyak panas dan sebagainya, yang ni nak kena sabar.

Jadi ada apa ditangan kita? Banyaknya benda ditangan ini, termasuklah tanggungjawab yang berat untuk disempurnakan. Jadi tiada cara lain yang dapat membantu kita kecuali mengangkat kedua-dua tangan, memohon kekuatan dari yang Maha Esa. Itulah yang dilakukan semasa berdoa kepada Allah, DIA sentiasa bersedia memperkenankan permintaan kita. Mintalah dari DIA. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat