Pengalaman "Mencari Diri"

Setiap orang pasti mempunyai pengalaman "mencari diri", iaitu proses mencari identiti diri. Ia adalah diantara cabaran yang akan dilalui oleh setiap orang sama ada disedari ataupun tidak. Sekiranya cabarannya terlalu kuat, ia akan menyebabkan fikiran berkecamuk dan bercelaru untuk memahami situasi yang ditempuhinya itu. Malah ia juga akan menyebabkan kita menjadi keliru, murung dan tertekan sehingga merasakan diri telah gagal dalam kehidupan ini.

Sememangnya kita tidak boleh lari daripada situasi ini, terutama bagi orang yang mencari kasih sejati, kasih Allah swt. Biasanya kita terpaksa menempuh pelbagai ujian, yang betul-betul menguji keimanan kita. Mampu atau tidak kita melepasinya bergantung kepada kekuatan dalaman kita, sekiranya kita yakin terhadap qada' dan qadar NYA, serta berserah sepenuhnya insya Allah kita akan mampu melepasinya walaupun kadang-kadang ia mengambil masa.

Ada yang diuji ketika zaman kecil, seperti yang dihadapi oleh Rasulullah SAW, dan ramai lagi anak-anak yatim. Ada pula yang diuji semasa zaman persekolahan, sama ada gagal dalam peperiksaan dan sebagainya. Ada yang menghadapi ujian semasa zaman di universiti, ditendang keluar sebelum berjaya menamatkan pengajian. Manakala segolongan lagi diuji semasa alam pekerjaan, di alam perkahwinan dan pelbagai lagi. Sebenarnya semua ujian yang kita hadapi, merupakan proses "mencari diri", proses untuk mendekatkan lagi pergantungan kita kepada Allah swt.

Ada juga yang diuji dalam bentuk "gangguan" yang boleh membuatkan dia hilang arah dan keyakinan diri untuk meneruskan karier. Ia datang tanpa sebab sehingga pada satu tahap, kita akan tertanya sendiri siapa diri kita yang sebenar dan ke mana arah hidup ini?. Inilah diantara pengalaman orang-orang yang "mencari diri", sehinggalah dia sampai kepada satu peringkat iaitu dia akan betul-betul menyakini kewujudan Allah swt, seterusnya memberi sepenuh penyerahan kepada-NYA dan beroleh ketenangan sejati.

Setiap orang akan melalui ujian yang berbeza, cuba bayangkan berapa ramai manusia di dunia ini, berapa banyak bentuk ujian yang terpaksa dihadapi. Secara tak langsung ia memberi gambaran kepada kita bahawa wujudnya satu kuasa yang mengawal semua ini. Malah kuasa ini terlalu hebat, dan DIA lah yang mampu membantu kita dalam apa-apa masalah yang kita hadapi.

Kadang-kadang kita tidak dapat meramal masa depan kita, walaupun kita meletakkan misi dan visi yang jelas. Ini kerana semuanya di luar kawalan kita, sebab itu kita perlu bersedia sepanjang masa. Tapi bagi insan yang mempunyai kekuatan dalaman yang mantap, semua ujian tersebut mampu diterjemahkan kepada satu usaha memperbaiki diri ke arah yang lebih mantap, menyusun strategi dan gerakkerja yang mungkin tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Sebab itulah kita disarankan agar selalu berfikiran positif, kerana bila kita positif, kita akan mampu menjadikan ujian itu kepada satu pengalaman manis yang tidak dapat dirasai oleh orang lain. Disebalik itu, sekiranya kita negatif, maka kita akan terus terperangkap dalam ujian tersebut.

Pengalaman saya melalui setiap peringkat pengajian dengan mudah, malah mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan untuk setiap peringkat pengajian tersebut. Rupa-rupanya ujian paling rumit menunggu pada peringkat Phd. Ujian untuk menguruskan rumahtangga dan pelajaran. Juga ujian menerima ketentuan Yang Maha Esa yang menentukan saya terpaksa melalui proses mengandung dan melahirkan sebanyak tiga tahun berturut-turut.

Sememangnya kita merancang tapi Allah yang menentukan, tidak siapa dapat menghalang semua ketentuan ini. Walaupun menggunakan pelbagai cara merancang keluarga, hasil perbincangan dengan doktor-doktor pakar tapi semua saranan mereka gagal. Inilah pengalaman mencari diri yang tidak mampu dilupakan, yang menyebabkan saya mengambil keputusan menyerahkan segala urusan kepadaNYA.

Dalam tempoh ujian tersebut, memang perit untuk menghadapinya, ditambah lagi dengan kata-kata orang disekeliling, sememangnya boleh menghancurkan diri ini sekiranya tidak kuat. Alhamdulillah berkat sokongan suami dan keluarga, saya mampu menghabiskan pengajian saya walaupun tidak mampu mengekalkan rekod "tamat on time". Pengajian yang sepatutnya dihabiskan 3 tahun menjadi 5 tahun.

Ujian itu juga mengajar saya supaya tidak perlu risau tentang urusan mengandung ni, kerana sebijak manapun kita merancang, menggunakan cara yang disarankan oleh orang bukan Islam, sekiranya Allah menetapkan untuk memberi cahayamata kepada kita, kita tidak dapat menghalangnya. Alhamdulillah kini saya tidak perlu risau lagi, tanpa menggunakan apa-apa teknik merancang keluarga, Allah menetapkan saya belum dapat menambah bilangan ahli keluarga. Dulu gila-gila mencari perancang keluarga mengandung juga, skrg tak guna apa-apa tak mengandung pula. Bebasnya bila kita berserah sepenuhnya kepada NYA serta tidak terikut-ikut dengan idea barat ni.

Itulah di antara pengalaman mencari diri yang saya lalui, yang telah mengubah persepsi saya tentang "penyerahan sepenuhnya kepada Allah swt". Mungkin kisah orang lain berbeza, dan ujian mereka lebih hebat, cuma satu perkara penting tetapkah tawajjuh kita kepadaNYA, insyaAllah kita akan bertemu kasih yang kita harapkan itu...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat