Kemelesetan Ekonomi
Kemelesetan ekonomi ini mampu mengubah sikap manusia, daripada seorang yang tenang selama ini kerana memiliki segala-galanya, kepada seorang mudah terasa. Apatah lagi sekiranya mereka tergolong dalam golongan yang dibuang kerja. Bila membaca apa yang terjadi di US, ditambah bila membaca pelbagai komen rakyat mereka, ternyata kemelesetan ekonomi kali ini betul-betul memukul mereka.
Kadang-kadang terasa kelakar bila membaca artikel-artikel yang ditulis pada masa kini, kebanyakkannya untuk mengajar penduduk US bagaimana cara untuk berjimat-cermat, terutama dalam perkara-perkara asas seperti pemilihan makanan, pakaian dan sebagainya. Saya terfikir sampai begitu sekali kah mereka perlu diajar untuk berjimat?. Apakah masyarakat yang disanjung diseluruh dunia ini tidak pernah ambil tahu tentang perkara-perkara asas ini. Bila keadaan ini berlaku baru mereka mula mencari ilmu-ilmu sebegini.
Lepas tu terfikir pula, apakah keadaan yang sama berlaku kepada umat Islam? Ini kerana mereka meniru cara pemikiran barat. Apakah umat Islam juga menghadapi kelemahan yang sama? Moga-moga kita tidak tergolong ke dalam golongan seperti mereka, yang hancur segala-galanya. Dalam keadaan sebegini, masing-masing ingin melepaskan kesusahan diri tanpa memikirkan kesusahan orang lain.
Allah swt ingin memberi pengajaran kepada kita agar tidak terlalu rakus dalam mengejar keduniaan kerana ia tidak akan kekal. Begitulah yang terjadi kepada penduduk di dunia ini yang terlalu ghairah mengejar kekayaan dengan mengorbankan hubungan kemanusiaan.
Menurut cara mereka, kita diajar untuk berhutang untuk memiliki apa yang dihajati, malah hutang dijadikan punca mendapat keuntungan sementara. Sebagai contoh ramai yang berhutang untuk membeli rumah, kemudian beli lagi dan lagi untuk disewakan. Apabila kemelesetan ekonomi berlaku, tidak ramai yang mampu mencari penyewa, akhirnya tidak mampu membayar hutang bank, kesudahannya hartabenda disita oleh pihak bank. Itulah yang berlaku di barat, idea inilah yang dibawa ke negara Islam dan ditiru oleh kita.
Lihatlah laporan kerugian yang dialami oleh pelbagai syarikat gergasi di dunia, semuanya kerana kerakusan mereka untuk beroleh keuntungan. Dalam sekelip mata sahaja kekayaan mereka ditarikbalik oleh Allah swt. Memang mereka boleh bangun balik tapi memerlukan masa.
Sepatutnya umat Islam sedar tentang ini dan memulakan pemulihan ekonomi dengan kembali mengamalkan sistem ekonomi yang diajar oleh Rasulullah saw. Bukan susah untuk melaksanakannya kerana sistem ekonomi Islam mengambilkira kebajikan manusia seluruhnya. Lupakan keuntungan yang bersifat sementara seperti yang diamalkan oleh barat.
" Akan datang kepada manusia suatu zaman, di mana orang tidak peduli akan apa yang diambilnya, apakah dari yang halal ataukah dari yang haram".
Orang zaman dulu membanting tulang pagi dan petang untuk mendapatkan sesuap rezeki yang halal, tapi hari ini ramai yang menjadi jutawan hanya dengan duduk didepan komputer. Pernahkan kita persoalkan bagaimana urusan tersebut dijalankan? Halalkah cara yang mereka gunakan untuk memberi kepada kita pendapatan sebegitu banyak? Malangnya tiada sesiapa mempersoalkan perkara sebegini, yang penting duit masuk ke poket kita setiap bulan.
Begitu juga orang yang mencari keuntungan dengan menggunakan sistem kewangan konvensional, apakah pernah terfikir bahawa cara yang digunakan itu terpalit dengan sistem yang diharamkan oleh Islam? Apakah kita tidak ingin mengambiltahu tentang hal ini, dan terus menggunakan sistem kewangan ini sedangkan pelbagai jenis bank-bank Islam diwujudkan? Mungkin inilah zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dalam hadis di atas.
Sebenarnya kemelesetan ekonomi ini mengajar kita pelbagai perkara, peluang untuk kita merenung balik urusan kita selama ini. Allah swt amat menyayangi kita dengan memberi peluang kepada kita untuk membetulkan kesilapan kita tentang ekonomi (sekiranya ada). Fikir-fikirkanlah...
Ulasan