Satu Kebetulan atau Ketetapan

Ramai yang menyangka apa yang berlaku kepada mereka hanyalah secara kebetulan. Selalunya kita menyifatkan peristiwa yang kita lalui hanyalah kebetulan. Sebagai contoh "Kebetulan bertemu dengan si A semasa di universiti, maka hubungan persahabatan terjalin di antara kami hingga kini", "kebetulan saya terjumpa Ani di kedai" serta pelbagai lagi kebetulan ini.

Pernahkan kita terfikir bahawa setiap detik yang berlaku ini adalah ketetapan Allah kepada kita? Ketetapan-ketetapan inilah yang menjadi plot-plot yang berlaku seharian, seminggu, sebulan dan seterusnya. Namun begitu kita masih boleh memilih ketetapan ini sama ada positif ataupun negatif. Kadang-kadang kita asyik bertemu orang yang sama, mengapa begitu? Kadang-kadang kita asyik bertemu dengan orang yang kita tidak suka, apakah tindakan kita? Semua ini adalah ujian kepada kita, untuk menangani hubungan dengan insan tersebut.

Kadang-kadang kita asyik mengulangi peristiwa sama berulang kali, mengapa begitu? Dalam hidup saya semenjak zaman universiti, saya sentiasa berpindah-randah walaupun pada mulanya hati tidak suka. "Asyik-asyik aku je yang kena". Setiap semester nama saya termasuk ke dalam golongan yang kena pindah, sekejap kolej dalam kampus, kemudian luar kampus, begitulah berterusan hingga berjaya tamatkan pengajian setahun lebih awal.

Walaupun hati memberontak tapi terpaksa akur dengan ketetapan itu yang ternyata banyak memberi kesan positif kepada saya. Ini kerana setiap kali berada jauh dari kampus kita lebih berdisiplin, terpaksa ke kampus awal pagi dan pulang waktu malam, jadi keseluruhan masa semasa dikampus digunakan sebaik-baiknya. Ia mengajar kita menghargai setiap masa yang ada. Itulah ketetapan-NYA untuk menguji kekuatan kita.

Bila dah berkahwin juga perkara yang sama dihadapi, beberapa kali berpindah rumah hinggakan saya sudah masak dengan kerja kemas dan bungkus barang. Bukan senang untuk melakukannya tapi bila dah biasa, dah tak jadi masalah lagi. Selagi kita tidak memiliki rumah sendiri begitulah keadaannya. Tapi bagi yang dah tinggal di rumah sendiri, buat apa nak pindah, susah senang kenalah hadapinya.

Apakah yang berlaku itu secara kebetulan ataupun ketetapan? Sekiranya kebetulan mengapa kita terpaksa ulangi situasi yang sama berulang-ulang kali? Apakah setiap kali berlaku ia hanyalah kebetulan? Inilah yang mesti kita fahami sejelas-jelasnya.
Apakah kita nak kata "kebetulan suami dapat pindah ke tempat lain, saya dapat jadi surirumah". "Sekiranya kami tidak pindah, saya masih tidak memahami apa itu tugas surirumah sepenuh masa". Sebenarnya itulah ketetapan Allah dalam membantu kita membuat keputusan yang sesuai dengan fitrah kita. DIA memberi peluang untuk kita menilai kemudian mengambil keputusan yang terbaik.

Begitu juga pengalaman bertemu dengan insan kontroversi. Pengalaman ber "advisor" kan Dr. Amina Wadud, satu pengalaman susah yang terpaksa dihadapi dalam pencarian ilmu di UIA satu ketika dulu. Orang kata dia hebat, mempunyai idea hebat, tapi pengalaman berdepan dengan beliau memang menyesakkan dada. Memang pengalaman getir. Nak dapatkan tandatangan untuk register subjectpun terpaksa menunggu berjam-jam, belum tambah lagi dengan layanan beliau, banyak sekali airmata gugur waktu itu.

Itulah ketetapan Allah sehingga saya terpaksa belajar bidang Tafsir dan Hadis yang tidak diminati pelajar pada ketika itu. Mulanya tidak minat, daftarpun kerana kerenah Dr.Amina Wadud, akhirnya saya menjadi seorang yang amat menyukai bidang ini. Hari ini saya bersyukur, sekiranya Allah tidak menetapkan beliau menjadi advisor saya, entah di mana saya berada kini. Begitulah manusia, kita tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku kepada kita. Tetapi selagi kita positif, Allah akan memudahkan ketetapan-ketetapan dalam hidup kita serta memberi pelbagai nikmat yang tidak mampu kita gambarkan. Subhanallah.

Oleh itu berjaya menjadi surirumah sepenuh masa juga adalah ketetapan Allah kepada kita. Walaupun apa puncanya, ketetapan Allah ialah kita dapat merasai pengalaman berada dirumah, pengalaman merasai ketenangan hidup dengan bergantung sepenuhnya kepada suami. Sekiranya kita menerimanya secara positif, kita akan mampu menemui satu jalan yang betul-betul mampu memuaskan hati kita. Tapi sekiranya kita menunaikan tugas ini secara terpaksa, kita akan lalui ketetapan lain yang lebih sukar.

Pengalaman seorang rakan yang mencuba untuk menjadi surirumah sepenuh masa dengan mengambil cuti tanpa gaji selama setahun, semata-mata ingin menumpukan perhatian beliau kepada anak yang akan menduduki UPSR tahun itu. Selepas setahun merasai ketenangan berada dirumah, beliau kemudiannya memohon untuk berhenti terus, meneruskan tugasan di rumah.

Sebenarnya tidak ada yang lebih mahal daripada ketenangan diri, tambahan lagi amat sukar untuk memiliki ketenangan ini dalam keadaan kita terkejar sana, terkejar sini. Bila dah dapat ketenangan ini, kita akan sanggup kehilangan wang ringgit. Biarlah tidak mempunyai wang sebanyak dulu, tapi hati tenang. Alhamdulillah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat