Sekolah Ramadhan

Sekolah Ramadhan adalah satu institusi hebat ini dihadiri oleh seluruh umat Islam yang cukup umur dan beraqal, yang beriman kepada Allah swt. Kehebatan sekolah ini tiada tandingannya dengan mana-mana institusi pendidikan di alam ini.

Sijil utama untuk menghadirinya adalah dua kalimah shahadah, yang mana ia membezakan orang Islam daripada yang selainnya. Sekolah untuk mendidik jiwa ini dibuka serentak di seluruh dunia setelah pengumuman dibuat oleh pihak berwajib, iaitu setelah melihat anak bulan Ramadhan.

Dapatkah kita bayangkan betapa hebatnya sistem pendidikan ini, yang diatur sendiri oleh Yang Maha Berkuasa untuk hamba-hambanya yang taat kepadaNya. Manakala cara-cara menghidupkannya didemonstrasi sendiri olah PesuruhNya, Nabi Muhammad sallalahualaihi wassalam. Jadi apakah visi kita semasa menghadiri Ramadhan 2009 ni?

Apakah yang kita cari kali ini? Bayangkan sekolah yang dihadiri setiap tahun ini sepatutnya sudah mampu menaikkan taraf kita ke peringkat yang lebih baik, sayangnya ramai yang terperangkap didalamnya. Hanya beberapa peratus sahaja yang mampu lulus cemerlang setiap kali kehadirannya.

Sesungguhnya pembersihan jiwa yang sebenar-benarnya dapat kita capai sekiranya kita betul-betul mengenal Yang Maha Berkuasa. Itulah kesan yang mampu kita capai setelah berjaya menamatkan pengajian di bulan Mulia ini, kembali kepada fitrah kita sebagai manusia.

Apakah silibus yang digunakan di Sekolah ini?Apakah yang dipelajari oleh pelajar-pelajar sekolah ini? Adakah ia diluluskan oleh MS ISO 9001 atau lain-lain jabatan yang menilai hasil usaha manusia? Bila kita menilai sendiri silibusnya adalah amat mudah dan ringkas, tapi apakah kita mampu melaksanakannya sebaik mungkin? Menahan diri daripada makan, minum atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Tepuk dada tanya Iman, kerana Imanlah yang menentukan segala-galanya.

Para ulama membahagikan puasa kepada 3 peringkat utama, iaitu puasa awam, puasa khas dan puasa khas yang dikhususkan, jadi di peringkat mana puasa kita? Apakah semata-mata meninggalkan makan minum ataupun ditambahkan dengan pengisian yang sepatutnya dibulan ini sehingga kita mampu sampai ke peringkat tertinggi dalam mengamalkan ibadah ini.

Perkara utama yang ditekankan oleh baginda disekolah ini adalah mempercepatkan berbuka puasa dan melewatkan bersahur. Apakah rahsia disebalik anjuran ini? Sama-samalah kita fikirkannya...Sekiranya kita melaksanakannya berpandukan demonstrasi yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah, maka Ramadhan amat mudah dan ringkas, akan tetapi ramai dari kita menjadikan Ramadhan susah untuk diamalkan oleh generasi muda.

Berbagai amalan bidaah yang diperkenalkan dan menjadi ikutan umat Islam sehingga hari ini, menyebabkan ramai yang merasakan kedatangan Ramadhan adalah satu beban kepada mereka.

Dalam masyarakat kita pula, puasa lebih menjurus kepada sambutan hariraya Aidilfitri, hinggakan Ramadhan belum bermula tetapi pelbagai program tentang hariraya sudah dihebahkan. Sebaik-baiknya betulkanlah niat kita sepanjang Ramadhan kali ini.

Di satu pihak lain, godaan terhadap nafsu makan juga ditambah, dengan wujudnya berbagai gerai ramadhan dan promosi berbuka puasa yang hebat-hebat diperkenalkan direstoran-restoran dan hotel-hotel terkemuka. Yang mana satu nak dipilih?

Berpandukan hadis riwayat Bukhari: Saidatina Aisyah memberitahu bahawa amalan Rasulullah adalah tetap sama sebagaimana yang baginda amalkan semasa di luar bulan Ramadhan, iaitu menghidupkan malam dengan qiyamullail sebanyak 11 rakaat, iaitu 4 rakaat solat kemudian salam, solat 4 rakaat lagi kemudian salam dan 3 rakaat solat sunat, kemudian Baginda tidur kembali, dan bangun solat Subuh. Namun panjang dan cantiknya amalan tersebut tiada bandingannya.

Jadi apa yang didemonstrasikan oleh Baginda Rasulullah amatlah mudah dan ringkas untuk diamalkan olah umat Islam disemua peringkat umur. Seterusnya mampu diamalkan sebagai amalan harian kita selepas Ramadhan yang mana amalan ini amat sukar untuk dimulakan diluar bulan Ramadhan kerana pelbagai gangguan luar.

Begitu juga kelebihan yang diberikan kepada orang-orang
yang menjaga diri serta hubungan sesama manusia dalam bulan ini. Bayangkan selama sebulan kita melatih diri bersopan-santun serta menjaga mulut, mata dan telinga kita. Sayangnya jika kita tidak mampu meneruskannya selepas Ramadhan berakhir.

Jadi bersama-samalah kita berusaha meningkatkan segala amalan kita di bulan Ramadhan ini agar kita mampu mengembalikan fitrah kita sebagai khalifah di alam ini. Juga kita mampu memakmurkan alam ini sebagaimana yang diajar oleh kekasih kita, Rasulullah saw.

Ulasan

ummu Masyitah berkata…
assalamualaikum
salam taaruf dan salam Ramadhan.

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?