Apakah Hati Secantik Tulisan Penulisnya?

Alhamdulillah bila berada di tanahair pelbagai program boleh dilakukan. Program utama ialah ziarah serta mengembalikan nostalgia lama, dalam usaha memantapkan diri sendiri. Bila bertemu dengan teman-teman lama, pelbagai cerita lama diimbas kembali.

Seronok juga bila mendengar cerita kawan-kawan lama dengan perjuangan mereka. Ada yang sedang meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan Phd, ada juga yang sedang merancang untuk menyambung pelajaran lagi. Dalam masa yang sama bekerja, mengurus keluarga serta pelbagai urusan lagi. Begitulah hebatnya kawan-kawan, paling tidak saya juga ikut termotivasi dengan usaha-usaha mereka.

Alhamdulillah kali ini saya berkesempatan melawat sekolah lama (Maahad Muhammadi (P) serta bertemu ramai rakan-rakan yang bertugas di situ. Sememangnya saya tidak tahu bahawa ramai rakan-rakan sepengajian semasa UIA dulu bertugas di situ. Dalam masa yang sama bertemu dengan beberapa orang bekas guru yang masih mengingati saya, alhamdulillah. Ada juga orang yang ingatkan diri ini. Terima kasih Guruku.

Dalam ramai-ramai kawan yang ditemui, saya berpeluang bertemu kembali dengan seorang kakak yang amat saya kagumi suatu ketika dulu, iaitu kak Siti Fatimah Yusof. Orangnya amat lembut selembut hatinya, seorang penulis khat yang hebat ketika saya masih baru bertatih belajar menulis khat. Masih teringat hasil karya beliau memenuhi ruangan seni khat dalam majalah 'Annur'. Cantiknya hasil tulisan beliau.

Tak sangka rupanya dia kembali bertugas di sekolah lama, serta mengajar khat. Bila dah bertemu, tajuk utama ialah tentang khat, setakat mana penglibatan pelajar sekarang dalam seni ini. Apakah ia masih menjadi pilihan pelajar hari ini? Sayangnya menurut beliau tidak ramai pelajar yang sanggup meluangkan masa untuk mendalami bidang ini setelah tamat tingkatan 2. Jadi tidak ramai pelajar perempuan yang mahir menulis khat.

Apakah jumlah matapelajaran yang terlalu banyak untuk dipelajari menyebabkan ilmu khat tidak lagi menjadi pilihan pelajar sekarang ataupun mereka tidak mengetahui kelebihan yang mampu diperolehi daripada ilmu ini?

Saya terkedu bila mendengar ungkapan 'tulisan yang cantik menggambarkan kecantikan hati penulisnya', semakin cantik tulisan makin lembut hati penulisnya. Ungkapan itu terlalu bermakna buat saya..ungkapan itulah juga yang kami tulis suatu ketika dulu semasa menghadiri kelas khat.

Dalam lawatan ke tempat lain, alhamdulillah saya berkesempatan melawat bengkel seni khat di KIAS. Seronok melihat hasil seni khat yang dihasilkan oleh para pelajar di situ. Malah saya sempat juga bersembang dengan Ustaz Mahmud Haji Awang, seorang khattat yang mengajar matapelajaran tersebut di KIAS.

Sebenarnya tidak ramai pelajar yang betul-betul berminat dengan khat, kerana kurangnya informasi yang diperolehi tentang khat. Malah tidak ramai pelajar yang mengetahui kelebihan mempelajari khat. Moga-moga pejuang khat mampu menyusun dan menjelaskan ilmu ini dengan lebih mantap agar generasi seterusnya menyayangi ilmu ini.

Begitu juga kumpulan kami yang pernah dipilih oleh guru Maahad untuk mengikuti kursus menulis khat suatu masa dulu, kini sudah lama meninggalkan seni ini. Masing-masing sibuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Itulah kelebihan yang kami dapat daripada belajar khat, perasaan tidak mudah putus asa serta tekun belajar. Moga sahabat-sahabatku terus berjaya dalam perjuangan, serta mampu membuktikan bahawa ada suatu rahsia di sebalik kemahiran menulis khat. Apakah rahsia itu?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?