Quarantine...betulkah teknik yang digunakan?

Bermacam-macam cerita tentang H1N1 yang kita dengar setiap hari. Ini termasuklah pelbagai tindakan yang diambil semenjak ia merebak di negara kita. Teringat ketika baru menjejaki kaki ke KLIA kami diarahkan agar mengisi borang khas tentang penerbangan serta alamat di Malaysia. Rupa-rupanya ketika itu memang sudah ada saringan dibuat. Alhamdulilllah keadaan ketika itu masih belum seperti ketika ini.

Kemudian pelbagai cerita yang saya dengar, antaranya kes H1N1 yang berlaku di insititusi pengajian tinggi, yang mana kesemua pelajar diberi cuti dan diarahkan pulang ke kampung masing-masing. Pelajar di 'check' sebelum balik tapi ada diantara pelajar yang mula demam ketika di atas bas untuk pulang ke kampung, seterusnya demam di kampung.

Kadang-kadang terfikir juga apakah ini bentuk 'quarantin' yang dilakukan? Sepatutnya para pelajar tersebut dikurung di dalam kawasan kampus, dimana pelajar yang sakit diasingkan, akan tetapi apa yang dipraktikkan ialah menyuruh mereka pulang ke kawasan masing-masing. Hasilnya kes H1N1 kini makin menular ke seluruh kawasan.

Begitu juga ketika ada sekolah yang ditutup disebabkan ada kes ini, sepatutnya mereka yang terlibat diquarantinkan dirumah ataupun di sekolah. Namun begitu mereka yang diberi cuti kerana sekolah atau tempat kerjanya ditutup, bebas berjalan-jalan ke mana-mana. Begitu juga ahli keluarga yang lain masih bebas berhubung dengan ahli masyarakat yang lain. Bukankah kebarangkalian penyakit boleh merebak disebabkan sikap mereka ini.

Jadi quarantin tidak akan memberi kesan sekiranya sikap dan pemahaman masyarakat tentang quarantin tidak ada. Malah ia akan menyebabkan masalah ini makin merebak.

Apakah yang sepatutnya kita lakukan pada saat ini? Sebaik-baiknya kita kembali kepada ketentuan Allah yang Maha Esa, muhasabahlah diri kita kerana tidak ada musibah ditimpakan kepada hamba-Nya tanpa sebab. Terlalu banyak maksiat tersebar dalam masyarakat kita, dan kita masih berdiam diri.

Begitu juga pelbagai jenis makanan yang jelas dicampur dengan unsur haram serta tidak terjaga kebersihannya dijual secara berleluasa. Masyarakat Islam yang tidak prihatin dengan perkara ini, dengan senangnya membeli makanan-makanan
tersebut. Maka amat mudahlah untuk penyakit ini merebak di dalam masyarakat.

Amalkanlah amalan-amalan asas yang diajarkan oleh Rasulullah seperti sentiasa berwuduk kerana bila kita berwuduk kita melengkapkan aura kita daripada gangguan virus ataupun syaitan.

Sekiranya pihak kementerian kesihatan menggalakkan kita sentiasa membasuh tangan, amalan berwuduk adalah lebih baik kerana ia meliputi kebersihan banyak anggota tubuh badan kita termasuklah mencuci hidung kita dengan memasukkan air ke dalam hidung. Ia dapat membantu mengelakkan masalah selsema. Bukankah cantik jika kita mengikuti ajaran yang telah sedia ada?

Begitu juga apabila mendengar orang lain bersin cubalah mengucapkan "yarhamkallah" atau "yarhamkillah" kemudian orang tersebut menjawab dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang diajarkan kepada kita. Sekiranya kita mendengar bersin tiga kali maka ucapkanlah "syafakallah" agar saudara kita disembuhkan oleh Allah. Ini kerana biasanya dengan ucapan-ucapan sebegitu kita saling doa-mendoa sesama kita agar dielakkan daripada apa-apa penyakit.

Begitu juga biasakanlah diri membaca doa ketika makan dan minum kerana kita dapat menghindari daripada jangkitan penyakit melalui makanan dan minuman kita. Semuanya telah dijelaskan oleh Rasulullah saw akan tetapi tidak ramai yang mengamalkannya.

Begitu juga lazimkan diri beristigfar kerana istigfar dapat membantu kita menguatkan diri daripada unsur-unsur luar. Sebagaimana Allah swt menyebut dalam Al-Quran "dan Aku tidak akan mengazab suatu kaum selagi mereka beristigfar"

Juga ada disebutkan bahawa sekiranya kita beristigfar serta memohon ampun diatas kesalahan kita, Allah akan mengampunkan kita. Malah sekiranya kita tidak mempunyai kesalahan maka Allah akan mengampunkan satu kaum yang melakukan kesalahan. Jadi biasakanlah beristigfar serta memohon ampun di atas kesilapan sama ada yang kita lakukan secara sedar ataupun tidak, agar Allah menurunkan Rahmat-Nya kepada kita semua.

Di samping itu pertautkan lah hati-hati kita dengan saudara mukmin lain kerana mukmin itu bersaudara. Janganlah mudah berburuk sangka sesama kita kerana hati-hati yang bersih serta penuh kasih sayang akan beroleh Rahmat Allah serta dijauhkan daripada bala.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah swt menjauhkan kita semua daripada ujian ini. Hanya DIA Yang Maha Berkuasa untuk menolong kita dalam saat-saat ini.



.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016