Lama Tak Menulis

Lama betul blog ni tidak di update, malas nak menghadapi masalah internet di sini. Maklumlah slow je, kadang-kadang tengah tulis tak de line. Jadi berdiam diri lebih baik daripada stress menghadapi masalah ini.

Cuma kadang-kadang rindu juga ingin menulis dan berkongsi sesuatu. Maklumlah kali pertama berada lama dikampung semenjak bekerja dan berkahwin. Barulah terasa saya ketinggalan daripada mengetahui banyak peristiwa penting dalam keluarga. Begitulah adat manusia, apa yang berlaku itu atas pilihan kita.

Teringat pula kata kakak saya: "Orang yang memilih untuk berada jauh adalah orang yang dah sanggup untuk berjauhan dengan keluarga, jadi kuatkanlah diri, orang yang tahu bahawa dia tidak kuat tidak akan memilih untuk merantau". Itulah sebabnya beliau memilih untuk membina rumah berdekatan dengan keluarga.

Jadi dalam isu ini saya sepatutnya telah kuat kerana memilih untuk berkahwin dengan warga asing serta merantau jauh ke luar negara. Namun begitu kita tidak tahu ketentuan seterusnya, walau sehebat mana kita merancang. Ini berlaku kepada kami sekeluarga.

Perancangan awal kami hanya untuk berada di Oman selama tiga tahun (tempoh maksimum cuti tanpa gaji) kerana itulah penjelasan yang diberikan oleh pegawai MSD UIA kepada saya sebelum kami berangkat ke Oman. Akan tetapi saya dianjurkan agar memohon cuti secara berperingkat-peringkat. Akhirnya setelah setahun setengah cuti berlalu, pihak pengurusan UIA tidak meluluskan cuti tanpa gaji seterusnya serta memberi alasan bahawa suami saya warga asing, serta bekerja dengan institusi yang tidak mempunyai kaitan dengan syarikat di Malaysia. Jadi cuti tanpa gaji seterusnya tidak dapat diluluskan.

Mengapa mereka tidak memberitahu sejak awal agar kami dapat merancang sebaik-baiknya, sedangkan segala surat menyurat dan keterangan telah sampai ke tangan mereka begitu lama. Itulah kejadian yang telah merubah segala perancangan kami sekeluarga. Moga-moga ia memberi banyak kebaikan kepada kami.

Jadi saya berada dalam dilema, balik menyambung kerja di Malaysia ataupun terus berada di samping suami. Jika berada di samping suami bermakna saya terpaksa berhenti daripada UIA serta membayar denda yang banyak kerana melanggar kontrak dengan UIA. Setelah agak lama berfikir serta beristikharah, saya memilih untuk terus berada disamping suami dan anak-anak dan berhenti daripada UIA. Memang agak susah untuk memulakan hidup sebagai surirumah sepenuh masa, tapi akhirnya saya boleh menyesuaikan diri alhamdulillah.

Namun disebabkan diri saya sudah sebati dengan tradisi UIA, maklumlah belajar daripada Matrik hingga ke Phd di situ, terasa diri begitu kosong daripada pengisian. Kalau dulu saya menyampaikan ilmu serta sentiasa menghadiri seminar dan forum, namun berada di sini bermakna saya terhalang daripada mengikuti semua program sebegitu. Jadi saya terpaksa memilih cara baru untuk corak hidup sebegini.

Sememangnya UIA mempunyai ciri tersendiri yang tidak ada pada institusi-institusi lain. Apakah ciri-ciri tersebut masih kekal ataupun sudah semakin hilang ditelan arus kemodenan? Kami bermula dalam keadaan yang sentiasa berpindah-randah di UIA, daripada matrik di Subang Jaya, serta asrama di SS8 Shah Alam, kemudian berpindah ke Lembah Pantai seterusnya menyambung ke kampus PJ dalam keadaan yang sentiasa berpindah randah. Belajar di PJ tetapi asrama di Shah Alam serta Lembah Pantai. Dari awal hingga ke akhirnya terpaksa menempuh susah, namun begitu ia menjadi memori yang terlalu manis.

Seterusnya berpindah ke kampus Gombak sebagai tenaga pengajar di situ. Memang terlalu banyak kenangan berada di situ. UIA adalah medan tarbiah diri yang hebat, rugilah sesiapa yang tidak mengambil kesempatan berada disitu untuk mencari pelbagai tarbiyah diri yang disediakan sama ada secara rasmi ataupun tidak rasmi.

Kali ini saya sudah dihubungi oleh Pihak UIA untuk membayar balik segala-gala pemberian ketika menyambung pelajaran di UIA dulu. Bukan persoalan duit yang menjadi masalah, namun saya merasakan seolah-olah diri ini dicampak daripada satu tempat yang amat saya sayangi.

Jika diimbas balik ketika mula-mula memohon untuk bekerja di situ, saya tidak diterima ketika kali pertama ditemuduga. Namun ketika berlaku kemerosotan ekonomi 1998, saya memohon untuk mengajar di Matrik UIA untuk menampung hidup sebagai pelajar sarjana, yang mana akhirnya Dekan ketika itu menawarkan agar saya menerima untuk bekerja sebagai penolong pensyarah di UIA. Seterusnya dalam tempoh 5 bulan dinaikkan ke jawatan pensyarah setelah berjaya menamatkan ijazah sarjana.

Entah kenapa saya terlalu menyayangi UIA, serta sentiasa berharap agar UIA sentiasa kekal seperti kali pertama saya menjejaki kaki ke situ 20 tahun lalu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016