Jangan Mudah Buat Cerita...

Bila dah bercerita tentang kejadian semalam (kejadian kebakaran), maka ia akan menjadi kisah yang panjang. Saya ingatkan bahawa ia akan terhenti di situ, rupa-rupanya silap tekaan saya...macam-macam cerita tersebar, nasib baik saya tidak pandai lahjah Arab ni, susah lah untuk saya sertai cerita mereka. Sekiranya saya terdengar pun susah untuk saya memahaminya.

Entah kenapa, berat sangat hati ni nak memahami lahjah Oman, Sudan, Mesir, Tunisia, Jordan mungkin sebab banyak sangat perbezaan sebutannya. Akhirnya buat-buat faham walaupun tak faham sepenuhnya...

Mungkin juga kerana saya sudah tanamkan dalam diri cuma ingin menggunakan Arab Fushah. Cuma kadang-kadang kesian juga dengan kawan-kawan kerana mereka susah untuk menggunakan bahasa Arab Fushah. Dulu-dulu saya bayangkan bahawa semua orang Arab akan mampu bercakap Arab fushah kerana itu bahasa mereka, rupa-rupanya tidak.

Tapi susah mereka tidak sesusah kita, orang ajam untuk bercakap Arab kerana mereka mengetahui perkataan-perkataan yang ingin dituturkan, cuma susah untuk mengatur struktur ayat mengikut nahu bahasa Arab sahaja.

Namun begitu peringatannya, janganlah kita mudah menyebarkan cerita tanpa memastikan kesahihan cerita tersebut sebagaimana yang disebut dalam surah Al-Hujurat. Sepatutnya kita pastikan kesahihannya sebelum menyebarkan kepada orang lain, serta janganlah menyebarkan cerita tentang orang lain.

Itulah yang berlaku kepada kami raya Aidil Fitri lepas. Alhamdulillah ramai yang datang mengucapkan tahniah kepada suami menyatakan bahawa ayah saya telah datang melawat saya di sini. Ini kerana mereka melihat lelaki tua yang berwajah melayu berjalan dengan suami saya tanpa mengetahui bahawa kami cuma menolong mereka (orang Selatan Thailand) yang datang melawat Oman. 

Tergelak sakan saya bila mendengarkan bahawa pembawa cerita tersebut adalah dikalangan syeikh (ustaz). Rupa-rupanya sifat ini bukan sahaja dimiliki oleh orang yang kurang ilmunya, tetapi ia boleh menjadi penyakit dikalangan orang-orang berilmu. Mungkin itulah sebabnya Allah swt menyebutkan "Wahai orang-orang yang beriman" bukan "wahai orang-orang Islam".

Hati saya tertanya-tanya: "mengapa ramai manusia yang suka menyebarkan cerita tanpa memastikan kesahihannya dulu?" "mengapa pula peringatannya disebut oleh Allah swt didalam surah Al-Hujurat yang bermaksud "dikamar-kamar"? Mungkinkah ramai orang yang suka bercerita tentang orang lain bermula dari bilik tertentu kemudian ia akan tersebar luas, ataupun ia bermula daripada cerita suami kepada isteri atau sebaliknya kemudian ia disebarkan seterusnya?

Namun begitu peringatan kepada kita, berhati-hatilah dalam setiap tutur kata kita kerana kadang-kadang ia akan dijadikan buah mulut kepada orang-orang yang tidak memahaminya. Paling senang tidak perlu buat cerita, bercakaplah tentang perkara-perkara yang berfaedah dan bermanfaat, dengan itu kita dapat mengelakkan daripada bercakap perkara sia-sia.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016