Awal Muharram 1432H

Masa tetap akan berlalu sama ada kita bersedia ataupun tidak. Detik masa yang terlepas itu tidak mungkin dapat kita ulangi kembali. Itulah aturan Allah, sebab itu kita diajar untuk menghargai waktu dengan memelihara amalan harian, bulanan serta tahunan kita.

Alhamdulillah...itulah ucapan yang sepatutnya kita ulang-ulang, kerana kita dibekalkan dengan cara hidup yang tersusun. Setiap gerakkerja kita ada panduannya daripada amalan Rasulullah saw dan para sahabat baginda.

Sekiranya umat Islam betul-betul mengerti hikmah disebalik setiap amalan yang diajarkan oleh Pesuruh Allah, nescaya umat Islam akan mampu berjaya, didunia dan diakhirat.

Namun sayangnya umat Islam hanya mengambil Islam sebagai pelengkap, bukannya asas kehidupan. Bayangkan dimana-mana saja, umat Islam begitu teruja untuk mendalami ilmu-ilmu asing, sedangkan ilmu-ilmu asas dalam Islam dibiarkan sepi...tidak ramai insan yang menghargainya.

Maka tinggalkan ilmu-ilmu ini dipelajari oleh insan-insan yang lemah, juga diajari oleh ustaz-ustaz yang lemah, dengan pengurusan yang lemah juga. Apakah akan jadi pada agama ini suatu ketika nanti?

Bila berbicara tentang kelas-kelas agama, semakin ramai yang berminat untuk mempelajarinya, akan tetapi adakah insan yang betul-betul ingin mendalaminya dengan cara yang betul? Masih banyak ilmu berkaitan al-Quran dan al-Sunnah yang boleh kita dalami dan kaji untuk memahami sunnatullah.

Kadang-kadang guru menjadi lemah bila pelajar begitu lemah untuk memahami setiap kaedah yang diajar, sedangkan ia adalah asas kepada hukum Islam. Bayangkan merekalah yang akan mengajar umat Islam tentang agama suatu hari nanti...

Dimana-mana saja, ilmu agama hanya menjadi pilihan pelajar-pelajar yang tidak kritikal, serta mempunyai daya analisis yang rendah, mereka hanya mampu menghafal bukannya memahami ilmu tersebut. Sayang sekali...tapi itulah realiti agama ini.

Saya selalu bayangkan keadaan umat Islam apabila pelajar-pelajar yang bijak mendalami ilmu ini, banyaknya rahsia yang akan terungkai, subhanallah. Banyaklah penemuan-penemuan terbaru yang mampu dihasilkan oleh umat Islam berpandukan petunjuk Ilahi.

Kita tiba lagi di awal tahun baru...moga kita mampu membawa perubahan ditahun baru ini, serta kita meletakkan agama kita ditempat yang sepatutnya...Kullu 'aam wa antum bikhair.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?