Lemahkah Wanita?

Dalam dunia moden hari ini, kadang-kadang kita menjadi mudah lemah dengan bisikan yang datang menganggu.

Mengapa pula saya berkata begitu? Ini kerana hasil pemerhatian saya terhadap apa yang berlaku disekeliling, termasuklah diri-sendiri.

Bila bersembang dengan rakan-rakan pula, saya rasakan memang betul agakan saya, iaitu wanita menjadi begitu lemah dengan adanya teknologi baru, terutama telefon.

Malah bila kita mendengar ceramah-ceramah agama kita selalu disogokkan dengan idea agar kita selalu menghubungi keluarga, sanak-saudara dan lain-lain agar ikatan persaudaraan terjalin erat.

Memang betul anjuran sebegitu patut diamalkan, akan tetapi apabila ia dijadikan asbab untuk menunjukkan tahap ketaatan anak kepada ibubapa, ia akan menyusahkan hidup kita.

Bayangkan seorang anak yang merantau ke luar negara, kemudian terpaksa menelefon si ibu hampir setiap hari semata-mata untuk menjaga hati si ibu. Jika tidak dilakukan kerana sibuk, maka jatuhlah gelaran 'anak derhaka'. 

Kemudian jika suami terpaksa berkursus ke luar negeri ataupun tempat yang jauh daripada kita, kita akan risau serta cuba menghubungi setiap waktu.

Kadang-kadang saya terfikir, mengapa sampai begitu sekali wanita menjadi lemah...termasuklah diri ini. 

Bila difikir-fikirkan balik, terasa memang wanita hari ini mempunyai daya tahan emosi yang lemah, walaupun kita berpelajaran. Malah fenomena ini berlaku dimana-mana sahaja, tidak kira Melayu atau Arab. 

Mungkin ada yang berkata, bila ia tidak terkena pada kita, senanglah kita bercakap, tapi apabila kita terpaksa berpisah sementara dengan orang yang kita sayang, mestilah kita ingin tahu apa yang berlaku padanya. 

Apakah dengan menghubungi setiap hari, kita mampu mengubah takdir?

Bila merenung kembali sejarah umat Islam masa lampau, saya merasakan bahawa wanita-wanita dahulu begitu kuat dan tabah.

Bayangkan seorang ibu yang merelakan anaknya keluar berjihad, mereka akan terputus hubungan dengan si anak tanpa mengetahui sama ada anaknya hidup atau mati, segala yang berlaku semuanya diserahkan pada Allah swt.

Kadang-kadang jihad tersebut memakan masa yang panjang, maka selama itulah si ibu terpaksa memendam rindu pada anaknya, begitu juga isteri yang terpaksa berpisah dengan suami.

Begitu juga yang berlaku pada ibubapa yang melepaskan anak-anak keluar menuntut ilmu ditempat yang jauh, mereka terpisah daripada anak-anak tanpa khabar.

Teringat juga kisah-kisah ulama hadis yang terpaksa mengembara mengumpul hadis, mereka mengembara dari satu tempat ke tempat lain, meninggalkan insan-insan tersayang bertahun-tahun tanpa mengetahui khabar mereka, semuanya diserahkan pada Allah swt.

Begitu juga para pendakwah yang keluar menyebarkan Islam ke benua lain, mereka terpisah daripada ibubapa, sanak-saudara serta rakan-taulan. Apakah mereka gembira dengan keadaan mereka?

Di tempat baru, mereka memulakan hidup baru dengan kawan-kawan baru...itulah yang selalunya mereka lakukan, sedangkan kita begitu takut untuk berdepan dengan suasana baru, kita mudah sedih bila terpaksa berpisah daripada orang-orang yang kita sayang.

Kadang-kadang kita menafikan hakikat bahawa kita mampu mempunyai kawan walau dimanapun kita berada, dengan syarat kita buka hati kita untuk menerima persahabatan yang dihulurkan oleh insan lain.

Akhirnya saya terfikir apakah wanita pada masa dahulu tidak mempunyai perasaan seperti apa kita rasa? Sedih dan risau bila terpaksa berpisah dengan orang-orang yang kita sayang. Bagi saya, manusia tetap mempunyai fitrah yang sama walaupun zaman berubah, tetapi tahap ketahanan emosi mereka lebih kuat dan mantap jika nak dibandingkan dengan kita hari ini.

Namun begitu, ramai juga wanita yang kuat, mereka begitu tabah mengharungi hari-hari dalam hidup mereka jauh daripada insan yang tersayang.

Moga Allah memberikan kekuatan emosi kepada kita, serta memberi ketabahan kepada kita dalam menghadapi hidup dirantau orang.

p/s - catatan berkaitan dengan kisah kawan rapat, Sumayya, yg terpaksa balik negara asal Jordan, kawan Mesir, Marwa, yang kehilangan ibu semasa dia berada dirantau, dan pengalaman diri setiap kali berjauhan dengan suami tiap kali cuti. Moga Allah memberi ketabahan pada kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?