Wanita dan Sukan

Pagi-pagi lagi terbaca tentang wanita dan sukan dalam 'yahoo maktoob', dimana cerita tentang kementerian pendidikan Arab Saudi yang berjaya mengesan aktiviti sukan dijalankan oleh pihak sekolah swasta bagi pelajar-pelajar perempuan. 

Mereka berjaya mengesan aktiviti tersebut setelah satu pertandingan sukan diadakan yang melibatkan pelajar-pelajar perempuan di 6 buah sekolah di Jeddah. Jadi kementerian pendidikan menganggap pengurusan sekolah telah melakukan kesalahan kerana telah membenarkan aktiviti tersebut dilakukan secara diam-diam.

Kementerian menganggap penganjuran sukan tersebut telah mendedahkan aktiviti menyalahi undang-undang itu dilakukan disana. Menurut mereka di Arab Saudi, wanita tidak boleh melibatkan diri dalam bersukan, malah wanita juga tidak dibenarkan menjadi penonton pertandingan sukan.  

Sebenarnya sekolah tersebut telah menganjurkan pertandingan bola jaring, renang, olahraga dan badminton diantara pelajar wanita. 

Menurut Faridah Farsi, Pengetus sekolah Al-Hamra: "saya terkejut apabila menerima panggilan daripada kementerian pendidikan yang bertanyakan tentang pertandingan sukan tersebut serta sebab penganjurannya. Beliau juga telah menerima banyak panggilan telefon daripada Syeikh-syeikh serta orang lelaki perseorangan yang menasihatkan beliau agar tidak menganjurkan lagi pertandingan seumpamanya pada masa hadapan, kerana ia tidak bersesuaian dengan fitrah wanita".

Itulah diantara isi berita tersebut, yang nyata amat mendukacitakan kita yang mendengarnya. Apalah salahnya wanita bersukan, jika aktiviti tersebut dilakukan dalam stadium tertutup serta menutup aurat.

Bagi saya, wanita juga perlukan sukan, bukan semata-mata untuk menang dalam pertandingan akan tetapi sebagai satu aktiviti senaman untuk kesihatan tubuh badan.

Terfikir-fikir juga apa yang wanita Saudi boleh lakukan, jika setiap aktiviti dinyatakan sebagai bertentangan dengan fitrah wanita.

Apakah sebenarnya fitrah wanita? Apakah setiap aktiviti yang memerlukan kekuatan tubuh badan dianggap bertentangan dengan fitrah kita? Perlukah wanita menunjukkan kelemahan mereka ataupun berusaha untuk memiliki kekuatan tubuh badan agar mampu menangkis serangan penyakit dan sebagainya.

Patutlah orang memandang pelik apabila saya bermain badminton, mengayuh basikal, ataupun bermain bola bersama-sama anak-anak saya.

Alhamdulillah wanita-wanita di Oman dilayan lebih terbuka, malah ada diantara wanita Oman yang berjaya memenangi pertandingan sukan diperingkat antarabangsa.

Jadi elokkah wanita melibatkan diri dalam bersukan? Sama-samalah kita fikirkan...



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

Mengaji Quran ketika Haid