Kezaliman Versi Melayu

Semenjak awal tahun ini kita dikejutkan dengan berita-berita kezaliman pemerintah Arab, macam-macam kezaliman mereka dibongkar dan mendapat perhatian ramai. Namun begitu kezaliman mereka bersifat material dan fizikal, yang boleh nampak jelas serta mudah untuk diselesaikan jika kena caranya.

Kezaliman ini berbeza dengan kezaliman yang berleluasa di tanahair kita, yang mana kezaliman ditempat kita dilakukan oleh insan biasa, yang melakukan penganiayaan secara sulit serta begitu sukar untuk dikesan.

Bentuk kezaliman yang berleluasa di negara-negara Melayu, berpunca daripada perasaan hasad dengki, dendam, ingin menjatuhkan orang lain serta berbagai-bagai alasan lain.

Pendek kata semuanya berpunca daripada hati, sehingga mereka sanggup menggunakan pelbagai cara sihir tanpa diketahui oleh mangsa. Akibatnya si mangsa yang terpaksa merana diatas kezaliman mereka. 

Bagaimanakah cara untuk kita atasi kezaliman versi macam ni? Apakah memadai dengan menyediakan pelbagai teknik perubatan Islam? Ataupun kita mengubati punca yang menyebabkan semua ini berlaku, iaitu jauhnya masyarakat kita daripada menghayati Islam yang syumul.

Kadang-kadang terasa sedih bila memikirkan apakah salah insan yang terpaksa menghadapi ujian sebegini. Mengapakah ada insan yang sentiasa tidak senang dengan pencapaian orang lain? Sampai bilakah mereka boleh hidup tenang dengan cara mengazab kehidupan insan lain? 

Namun begitu, kita harus redha dengan ujian yang dihadapi walaupun perit. Bila tiba masanya kezaliman versi inipun akan berjaya diselesaikan. 

Moga Allah memberi kekuatan kepada semua insan yang hidupnya dizalimi, walauapapun versi kezaliman itu. Yakinlah suatu hari, Allah swt akan mengurniakan Rahmat yang tidak terhingga diatas kesabaran menghadapinya.    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman