Ego tak Bertempat...

Alhamdulillah hari Khamis lepas, kami sempat lagi mengadakan program mingguan kali ini, walaupun dalam jumlah yang kecil. Apabila duduk bersama-sama banyaklah isu yang dibincangkan terutama rakan dari Mesir yang begitu bersemangat bercerita tentang situasi disana.

Sehingga hari ini keadaan disana masih belum berubah, walaupun semalam penduduk Mesir menuntut agar Presiden Hosni Mubarak mengundurkan diri sebelum jam 8 malam. Apakah itu ego seorang pemimpin? Apakah beliau tidak merasa apa-apa apabila pelbagai kutukan diberikan kepada beliau, malah rakyat secara terang-terangan menolak beliau.

Hati saya berkata: "ada juga insan yang tidak tersentuh dengan apa yang berlaku disekeliling beliau, apakah jenis hati yang dimiliki oleh beliau? Sekali fikir hebat dan kuat kerana beliau tidak terasa bila mendengar kutukan rakyat, tapi bila fikir sekali lagi 'macam tiada hati je orang ni'".

Apa yang saya amat terkejut ialah apabila rakan memberitahu bahawa di Mesir terdapat ramai pekerja asing, yang bekerja disektor pembuatan dan lain-lain sektor, sedangkan rakyat Mesir begitu ramai yang menganggur. Bagi beliau, ini kerana rakyat Mesir mempunyai 'izzatul nafs yang tinggi', dan tidak sanggup bekerja dengan pendapatan yang rendah. Tapi bagi saya, itulah ego yang tak bertempat.

Tapi setiap orang memiliki tafsiran tersendiri, jika mereka melihat bahawa menganggur adalah lebih baik daripada bekerja dengan pendapatan yang rendah, itu adalah pilihan mereka. Akan tetapi apabila ia menyebabkan mereka melepaskan ekonomi negara mereka mengalir keluar, dan mereka sendiri tersepit, itu bukanlah tindakan yang bijak.

Beberapa orang penganalisa politik memberitahu bahawa ekonomi Mesir amat berkait rapat dengan pelancongan, jika situasi disana berterusan sehingga lebih dua minggu, ekonomi Mesir akan lumpuh serta akan mengambil masa yang lama untuk pulih kembali. Dan jika mentaliti penduduk seperti yang dinyatakan oleh rakan saya itu, lebih lama lagilah masa yang akan diambil untuk negara mereka pulih kembali.

Namun begitu, saya agak kurang berminat untuk mengikuti perkembangan yang berlaku di Mesir sekarang, kerana bahasa yang digunakan menyukarkan untuk saya memahaminya. Ini kerana setiap laporan disampaikan menggunakan dailek ammi Mesir walaupun pengacara TV menggunakan bahasa Arab Fushah. Ini termasuklah laporan mereka untuk TV Al-jazeera, yang amat menekankan penggunaan bahasa Arab fushah.

Bagi saya ini juga sikap orang yang ego tak bertempat, apalah salahnya wartawan-wartawan Mesir yang melaporkan apa yang berlaku disana menggunakan bahasa Arab fushah, begitu juga para cerdik pandai Mesir yang menghubungi TV.  

Ini amat berbeza daripada laporan revolusi di Tunisia, yang mana kebanyakan perbincangan menggunakan bahasa Arab fushah, malah semua wartawan dan penduduk Tunisia yang menghubungi saluran TV juga menggunakan bahasa Arab fushah sepenuhnya. Jadi ia amat membantu orang-orang seperti saya untuk memahami apa yang berlaku disana.

Moga Allah mengurniakan apa yang terbaik buat penduduk disana, sama-samalah kita doakan...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016