Apa Istimewanya Tunisia?

Semenjak berlakunya revolusi di Tunisia, saya merasa terpanggil untuk mengenali negara ini secara lebih dekat. Walaupun sudah lebih 13 tahun bertemankan insan daripada sana, tetapi ketika itu tiada apa-apa tarikan untuk saya mengenali negara ini secara lebih dekat.

Rupa-rupanya banyak rahsia tersimpan disitu, malah penghayatan Islam disana amat berbeza daripada tempat-tempat lain dialam ini. Ini kerana umat Islam diseluruh dunia lebih mengenali Islam Al-Azhar daripada Islam Az-Zaytuna, dua buah universiti tertua dalam sejarah Islam.

Dinyatakan didalam Ensaiklopedia Wikipedia bahawa Universiti Azzaytuna yang terletak di Tunisia merupakan pusat pendidikan tertua di negara-negara Arab, yang mana ia diasaskan pada tahun 737 M (120 H), dan berterusan sehingga sekarang.

Malah diantara bekas pelajar universiti tersebut adalah ulama terkenal Abdul Rahman Ibn Khaldun, yang terkenal dengan buku 'Muqaddimah', penyair terkenal Tunisia, Abdul Qassim Al-Shaabi, yang mana syairnya dijadikan ungkapan yang digunakan semasa revolusi pertengahan bulan lepas, serta Mufassir Muhammad Tahir Ibn Ashur.

Menurut penulis Lafif Lakhdar dalam artikel beliau "Moving From Salafi to Rationalist Education", corak pemikiran Islam yang diajar di Universiti Zaytuna agak berbeza daripada pemikiran yang diperkenalkan di Universiti Al-Azhar dan Arab Saudi. Malah beliau menyatakan bahawa silibus yang digunakan di Al-Azharlah yang membawa umat Islam mundur ke belakang.

Universiti Zaytuna mendidik pelajar agak berani mengeluarkan pendapat sendiri dalam memahami agama Islam serta Al-Quran. Baca lanjut di http://meria.idc.ac.il/journal/2005/issue1/jv9no1a3.html.

Ini boleh dilihat pada kebolehan graduannya dalam memahami isu-isu semasa, serta mengulas lanjut mengenainya. Ramai graduan univesiti ini dijemput dalam program forum secara langsung di TV Al-Hiwar dan Al-Jazeera semasa revolusi Tunisia rancak dibincangkan sebelum ini.

Malah satu keistimewaan panelist yang berasal daripada Tunisia, adalah kemampuan mereka menyalurkan idea mereka menggunakan bahasa Arab Fushah. Ketika itu juga baru saya tahu bahawa ramai penyampai TV Al-Jazeera berasal daripada Tunisia. Kelebihan mereka adalah dalam menggunakan bahasa Arab fushah, termasuklah penyampai TV untuk program kanak-kanak.

Anak-anak pula sibuk mengikuti siri "Tariq bin Ziyad: Penakluk Andalus", yang juga menyentuh tentang "Qairawan" sebuah bandar yang berfungsi sebagai pusat pemerintahan Islam dalam usaha menyebarkan Islam ke negara-negara Afrika Utara, yang terletak di Tunisia. 

Nampak gaya saya perlu berusaha untuk menggali maklumat mengenai negara ini, yang sudah aman walaupun revolusi belum mencecah sebulan. 

Terfikir-fikir juga, apakah revolusi ini merupakan titik mula untuk Umat Islam mengenali pemikiran Islam yang diajar oleh ulama-ulama Universiti Zaytuna? Apakah sudah tiba masanya umat Islam berpindah daripada sistem menghafal (sistem Al-Azhar) kepada sistem yang mengajar kita menghayati agama ini secara rasional? 

Dalam masa yang sama, umat Islam diajar menggunakan bahasa Arab Fushah sepenuhnya untuk memahami agama kita, bukan lagi dailek ammi Mesir. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman