Istigfar dan Selawat

Bila berada bersama-sama masyarakat lain, kita mampu melihat setakat mana pengamalan mereka dalam adat dan ibadat. Apa yang pasti, ada sesuatu yang mampu kita kutip dari situ.

Bila berada bersama-sama wanita Oman, apa yang selalu diulang-ulang ialah istigfar. Itulah amalan yang selalu saya dengar apabila berada berdekatan dengan mereka. Amalan istigfar menjadi sebutan setiap waktu, mungkin juga ia punca ketenangan mereka.

Alhamdulillah semakin lama bergaul dengan mereka, amalan tersebut turut melekat pada saya.

Teringat sabda Rasulullah saw "Sesiapa yang melazimi beristigfar, Allah akan menjadikan apa yang diingininya kejayaan, menyediakan jalan keluar bagi setiap kesusahannya, serta memberi rezeki yang tidak terhitung" hadis Riwayat Abu Daud.

Moga amalan ini berkekalan dihati, sehingga ia menjadi akhlak manusia, yang mana mampu menjadi sumber kejernihan hati.

Bagi saya setiap orang mempunyai amalan tersendiri, sama ada berbentuk ibadat ataupun adat. Jika amalan tersebut baik, tidak salah untuk kita sama-sama mengamalkannya.

Bila berada bersama-sama wanita Tunisia pula, ada satu keunikan mereka yang saya perhatikan, setiap percakapan akan diakhiri dengan "salla 'ala nnabi" iaitu berselawatlah kepada Nabi.

Jadi setiap percakapan sama ada ia berunsur positif atau negatif diakhiri dengan peringatan untuk berselawat kepada baginda Rasulullah saw. Apatah lagi jika mereka ingin mengingati sesuatu peristiwa penting, ungkapan "salla 'ala nnabi" diulang-ulang tanpa sedar.

Moga insan yang mendengarnya betul-betul berselawat kepada baginda Rasulullah saw, serta beroleh Rahmat Ilahi, bukan sekadar menyebutnya tanpa sedar. Ini kerana ia sudah menjadi kebiasaan yang diucapkan oleh segenap lapisan masyarakat dimana-mana dan dalam setiap perbualan.

Bila membaca buku "Tarbiyatina Al-Ruhiyah" oleh Syeikh Said Hawwa ada disebutkan tentang membaiki hati. Diantara cara terbaik untuk memiliki hati yang bercahaya ialah dengan berselawat kepada baginda Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda "barangsiapa berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali".

Manakala didalam Suran Al-Ahzab:43 Allah swt menyebutkan bahawa sesiapa yang diselawatkan oleh-Nya dan Malaikat-Nya ialah untuk mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.

Kesimpulannya amalan berselawat mampu memperbaiki hati kita, maka lazimilah amalan ini secara berterusan sehingga ia membaiki hati kita menjadi lebih lembut dan bercahaya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman