Keberkatan Ramadhan

Alhamdulillah kita berada didalam bulan yang mulia ini sekali lagi, bulan untuk kita berlumba-lumba merebut pahala dan Rahmat yang tidak terhitung pada bulan ini.

Apakah kita menyediakan diri kita untuk betul-betul merebut peluang ini ataupun kita sekadar menjalani hari-hari ini seperti biasa? Apa yang pasti janganlah kita membiarkan diri kita menyesal apabila Ramadhan sudah berada dipenghujung, berusahalah.

Menjalani hari-hari mulia ini dirantauan sudah menjadi biasa bagi kami sekeluarga, beberapa tahun di Oman, tahun ini kami terpaksa menjalani tempoh berpuasa yang lebih panjang dalam suasana musim panas di Tunisia pula.

Apapun yang pasti anak-anak tetap bersemangat untuk berpuasa setiap hari dengan menu sahur yang agak berbeza daripada biasa. Moga semangat tersebut berpanjangan sehingga ke akhir Ramadhan.

Sesungguhnya Ramadhan bulan untuk melatih kita agar lebih bertakwa, jika kita menyusun segala aktiviti kita secara teratur insya Allah kita mampu keluar daripada latihan dibulan ini dengan perasaan lebih tenang dan dekat kepada Allah swt.

Sebagai surirumah, inilah peluang kita untuk memperbaiki diri, ini kerana waktu-waktu sibuk kita disiang hari telah menjadi agak lapang, jadi isikanlah ia dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Jika kita menghadapi masalah, jadikan bulan ini peluang untuk kita memperkuatkan diri, menghampirkan diri kepada Allah swt, moga segala ujian yang dilalui ditukar kepada Rahmat. Yakinlah bahawa DIA tidak pernah memungkiri janji-janji-Nya.

Alangkah manisnya dapat bertemu bulan ini setelah diuji, tiada gambaran yang dapat diberi bila dapat memohon, merintih serta merayu agar diberi kekuatan iman, juga kekuatan untuk menjalani hari-hari seterusnya dengan lebih tenang.

Moga Ramadhan kita kali ini lebih bererti daripada Ramadhan sebelumnya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016