Jauh tapi Dekat...
Alhamdulillah perkembangan teknologi hari ini menjadikan kita tidak terasa sangat meskipun berada jauh beribu-ribu batu daripada insan-insan yang kita sayangi. Teringat kenangan kali pertama meninggalkan keluarga tercinta, tahun 1989 kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke Pusat Matrikulasi UIA. Ketika itu jika teringatkan ibubapa dan adik-beradik di kampung, terpaksalah dipendamkan kerinduan itu kerana sistem telekomunikasi ketika itu tidak sehebat dan semudah hari ini. Masih teringat lagi, ketika itu telefon rumah hanyalah boleh didapati dirumah-rumah orang yang berada sahaja. Jika terlalu rindu untuk bercakap dengan ibubapa, maka saya terpaksa menelefon jiran yang terletak jauh dari rumah sendiri, meminta mereka memberitahu ayah bahawa saya ingin bercakap pada waktu tertentu. Maka mereka akan menyampaikan pesanan tersebut, manakala ayah dan ibu akan menunggu dirumah jiran tersebut. Itulah indahnya hidup berjiran ketika itu. ...