Jauh tapi Dekat...

Alhamdulillah perkembangan teknologi hari ini menjadikan kita tidak terasa sangat meskipun berada jauh beribu-ribu batu daripada insan-insan yang kita sayangi.
 
Teringat kenangan kali pertama meninggalkan keluarga tercinta, tahun 1989 kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke Pusat Matrikulasi UIA.
 
Ketika itu jika teringatkan ibubapa dan adik-beradik di kampung, terpaksalah dipendamkan kerinduan itu kerana sistem telekomunikasi ketika itu tidak sehebat dan semudah hari ini.
 
Masih teringat lagi, ketika itu telefon rumah hanyalah boleh didapati dirumah-rumah orang yang berada sahaja. Jika terlalu rindu untuk bercakap dengan ibubapa, maka saya terpaksa menelefon jiran yang terletak jauh dari rumah sendiri,  meminta mereka memberitahu ayah bahawa saya ingin bercakap pada waktu tertentu.
 
Maka mereka akan menyampaikan pesanan tersebut, manakala ayah dan ibu akan menunggu dirumah jiran tersebut. Itulah indahnya hidup berjiran ketika itu.
 
Daripada jiran jauh kami berubah kepada jiran sebelah rumah, hinggalah akhirnya kami tiga beradik yang berada di Universiti di Kuala Lumpur ketika itu berkongsi untuk sama-sama membayar agar kami boleh memiliki telefon sendiri. Jadi ayah dan ibu tidak perlu lagi menunggu dirumah jiran setiap kali ini berhubung dengan anak-anak mereka.
 
Manakala kami pula terpaksalah beratur menunggu giliran untuk menggunakan telefon di kampus. Ketika itu duit syiling amat berharga buat saya, setiap kali berbelanja hanya duit kertas yang digunakan. Ini kerana saya ingin memastikan duit syiling cukup untuk keperluan telefon.
 
Itulah kenangan yang teramat manis untuk dikenang meskipun kehidupan begitu sukar ketika itu. Ketika itu saya selalu terasa bahawa saya berada begitu jauh daripada insan-insan yang disayangi.
 
Bila ditambah kesukaran pengangkutan ketika itu, dimana bus-bus ekspress sentiasa mengalami masalah didalam perjalanan, pilihan saya hanyalah pulang bercuti ketika cuti panjang sahaja.
 
Namun begitu kesukaran itu menguatkan kita, menjadikan kita sentiasa fokus untuk berjaya, agar dapat mengubah nasib diri dan keluarga.
 
Hari ini saya merasa beruntung, perkembangan teknologi hari ini menjadikan saya tidak terasa bahawa saya berada begitu jauh daripada mereka.
 
Disebalik perkembangan teknologi hari ini, saya melihat betapa hebatnya manusia yang diciptakan oleh Allah swt. Maka betullah bila kita dikhabarkan bahawa kita diciptakan sebagai sebaik-baik makhluk.
 
Sebenarnya kita menumpang tuah orang yang begitu yakin dengan khayalan dan impian mereka. Mereka berjaya menjadikan impian mereka satu realiti, serta mampu membantu orang lain menikmati kejayaan mereka, serta memudahkan kehidupan orang lain termasuklah kita.
 
Namun begitu saya selalu terfikir mengapa hanya orang bukan Islam yang mampu berbuat sebegitu?
 
Mungkinkah kita akan terus menunggu orang lain menyediakan prasarana buat kita setiap waktu?
 
Bilakah kita mampu menggunakan imaginasi kita sehebat mereka,ataupun lebih baik daripada apa yang kita lihat hari ini.
 
Moga Allah memberi kekuatan kepada kita agar mampu turut sama menjadikan impian kita satu realiti. Amiin

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016