Sunnah Berbekam

Alhamdulillah semasa pulang bercuti di Malaysia pada tahun lepas saya sempat menghadiri kursus bekam yang dianjurkan oleh Stokis HPA Cawangan Ketereh, Kelantan.
 
Banyak perkara yang sempat saya pelajari disini, terutamanya teori dan praktikal bekam. Bekam merupakan satu sunnah Rasulullah saw yang kurang diambilberat oleh umat Islam, yang mana akhirnya mereka terpaksa menghadapi pelbagai penyakit fizikal termasuklah penyakit tiga serangkai.
 
Sebenarnya saya pernah beberapa kali melakukan bekam semasa berada di Oman, ada yang berbayar dan ada yang percuma. Apa yang menariknya di Oman, kerajaan menyediakan khidmat bekam secara percuma kepada penduduk disini, termasuklah orang luar seperti saya.
 
Akan tetapi pusat rawatan tersebut tidak mampu menampung keperluan penduduk Oman sendiri, yang menyebabkan sesiapa ingin melakukan bekam terpaksa membuat temujanji beberapa bulan sebelum mendapatkan rawatan.
 
Dipusat rawatan tersebut, rawatan bekam diasingkan daripada rawatan tradisional biasa, yang mana jika kita inginkan rawatan lain, kita akan bertemu dengan perawat lain.
 
Ini agak berbeza daripada cara yang diamalkan oleh HPA, kerana pengamal diajar untuk melakukan bekam, dalam masa yang sama dibekalkan dengan ubat-ubatan herba keluaran HPA. Jadi sesiapa yang melakukan bekam dengan pengamal dibawah HPA akan dibekalkan ubat untuk merawat penyakit mereka sehinggalah sembuh dengan izin Allah swt.
 
Jadi setelah selama beberapa tahun menjalani rawatan bekam ini, saya rasa sudah tiba waktunya untuk saya belajar berbekam. Alhamdulillah berbekalkan pembacaan dan pengalaman sendiri, banyak ilmu yang mampu saya perolehi sewaktu belajar teori dan praktikal berbekam.
 
Dalam masa yang sama cikgu-cikgu yang mengajar kami juga tidak lokek dalam mengongsikan ilmu melakukan rawatan bekam. Alhamdulillah....
 
Apa yang ingin saya kongsikan disini ialah satu artikel yang pernah saya baca mengenai kelebihan berbekam. Ia merupakan satu kertas kerja yang dibentangkan didalam  muktamar i'jaz ilmi al-ssabi' fi al-quran wa al-sunnah.
 
Kertas kerja tersebut dibentangkan oleh Dr. Hani Ali Ali Al-Ghazaawi. Ringkasannya ialah bekam ialah satu cara mencegah timbulnya penyakit, bertahun-tahun sebelum terjadinya penyakit tersebut.  Yang mana bekam bertindak membersihkan sel-sel dalam tubuh kita daripada dicemari dengan unsur-unsur yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit.
 
Maka benarlah anjuran baginda Rasulullah saw agar kita melakukan bekam, kerana ia membantu mengekalkan tahap kesihatan tubuh manusia.
 
Menurut Dr.Hani, umat Islam amat memerlukan keyakinan yang jitu untuk menghidupkan semula sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah saw, malah bekam merupakan satu khazanah perubatan Islam yang begitu penting, tetapi kurang diberi perhatian oleh umat Islam sendiri. 
 
Menurut beliau berbekam memberikan beberapa kesan kepada kita termasuklah sebagai unsur penenang, penyeimbang, menguatkan antibodi, menguatkan hubungan antara anggota tubuh kita dan menguatkan sistem darah kita.
 
Jadi, sebagai insan yang mencintai baginda, marilah kita sama-sama hidupkan sunnah ini, agar kehidupan kita terhindar daripada pelbagai penyakit alaf ini.  
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman