Belajar Al-Quran daripada Ibu Sendiri

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berpeluang untuk belajar mengaji Al-Quran daripada ibu tercinta, kadang-kadang daripada ayah apabila ibu sibuk. Ibu begitu mengambil berat tentang mengaji al-Quran terutama selepas solat maghrib, malah hingga kini, ibu masih rajin mengaji al-Quran.
 
Sesungguhnya begitu banyak kenangan bersama ibu terpahat diingatan ini, sewaktu mengaji al-Quran. Mungkin ketika saya kecil, saya tidak menghargai usaha yang ibu lakukan, malah kadang-kadang malas mengaji serta menganggap nasib saya tidak sebaik anak-anak lain yang pergi mengaji di rumah guru mengaji al-Quran.
 
Betullah kata orang, anak-anak begitu sukar untuk menerima tunjukajar daripada ibu sendiri serta mengecilkan keupayaan ibu sendiri, kerana kita menganggap beliau adalah ibu, mana mungkin jadi guru kita. Itulah yang saya rasai dulu...
 
Ketika itu saya menganggap kawan-kawan yang pergi belajar mengaji di rumah guru al-Quran begitu bernasib baik, serta hebat, lebih-lebih lagi bila melihat majlis khatam quran yang hebat diadakan disana-sini.
 
Namun begitu setelah masa berlalu dan saya mempunyai anak-anak sendiri, saya cuba untuk mempraktikkan cara yang dilakukan oleh ibu, terasa seolah-olah kenangan lama berulang kembali. Sesungguhnya saya rindukan suasana itu, itulah kenangan indah yang tidak mungkin dicari ganti.
 
Selalunya kenangan itu menjadi cerita saya dengan anak-anak ketika mengajar al-Quran, hinggakan anak-anak sudah hafal ayat yang saya selalu sebutkan 'jangan lupa solat dan mengaji quran'.
 
Itulah salah satu usaha penting yang dilakukan oleh seorang ibu, untuk memastikan didikan agama anak-anak berjaya dilakukan. Alhamdulillah...
 
Apabila kita mengaji al-Quran daripada ibu sendiri, kita agak kurang berdisiplin, tetapi kasih-sayang yang ditunjukkan ketika itu mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam dalam diri kita.
 
Sebenarnya itulah masa yang paling berkualiti diantara anak dan ibu, dan aktiviti itulah yang mengeratkan hubungan antara kami sehingga kini. Alhamdulillah 'ala kulli hal.
 
Alhamdulillah, hasil didikan ibu suatu ketika dulu, saya menjadi begitu dekat dengan al-Quran, kerana ada kenangan yang begitu bermakna disitu.
 
Moga Allah merahmati Ibu saya yang juga guru al-Quran pertama saya, serta membalas segala penat lelah beliau dalam menjaga dan mendidik saya sehingga kini. Dah dewasa sempurnapun masih mengharapkan tunjuk ajar daripada seorang ibu.
 
Itulah nikmat terbesar yang Allah kurniakan buat seorang anak, moga kita mampu menghargai beliau sebelum kita kehilangannya.
 
SELAMAT HARI IBU BUAT IBU TERCINTA...MOGA ALLAH MEMBAHAGIAKAN MU KETIKA INI...AMIIN.
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas