Hubungan Yang Bermakna

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih mampu menulis disini.

Alhamdulillah juga kerana masih ada kekuatan untuk berkongsi pengalaman sehari-hari disini.

Alhamdulillah suatu ketika dulu saya sempat mengikuti sijil diploma dalam ilmu terapi getaran warna atau lebih dikenali sebagai cvt.

Sebenarnya saya mengikuti kursus tersebut secara suka-suka, sekadar ingin menambah ilmu berkaitan. Akhirnya saya jatuh cinta dengan keindahan susunan ilmu tersebut yang membawa pengamalnya lebih dekat kepada Pencipta kita, Allah swt.

Ketika itu saya bertemu dengan ramai kawan baru, hubungan yang wujud diantara kami begitu rapat alhamdulillah. Kami berkongsi pelbagai pengalaman yang membawa kami sampai kesitu. Apa yang nyata disana kami diajar cara mengenal diri dan orang-orang disamping kita.

Seorang kawan yang mengalami satu penyakit misteri memberitahu..."setiap kali beliau pergi berubat dimana-mana, beliau disuruh belajar mengenali diri, akhirnya beliau mempelajari ilmu mengenal diri yang berwarna-warna."

Kami diajar tentang pembahagian manusia kepada beberapa golongan yang berbeza. Setiap golongan mempunyai unsur yang tersendiri, dan kita akan mudah tertarik kepada orang yang mempunyai unsur yang sama dengan kita.

Orang yang memiliki unsur yang sama akan mudah berkomunikasi antara satu sama lain, manakala orang yang memiliki unsur yang berbeza akan susah untuk masuk ke dalam kelompok lain.

Alhamdulillah ilmu ini mengajar saya untuk lebih redha dengan apa yang berlaku disekeliling saya. Kadang-kadang kita sampai ke suatu majlis yang dipenuhi dengan pelbagai manusia, tetapi kita tidak terasa untuk bermesra dengan orang disekeliling kita. Ia berlaku apabila kita tidak bertemu dengan insan yang mempunyai unsur yang sama dengan kita.

Apabila kita bertemu dengan orang yang memiliki unsur yang sama dengan kita, kita akan berasa sangat selesa bersembang walaupun ia hanyalah pertemuan pertama antara kita dan insan tersebut. Itulah keindahan hubungan manusia bila kita amati, Subhanallah.

Hubungan dengan insan yang berlainan unsur akan wujud setelah beberapa kali bertemu, setelah ditapis, dipujuk hati sendiri untuk berkenalan. Ia juga berlaku setelah diambilkira pelbagai sikap insan tersebut, sama ada positif stau negatif.

Saya masih teringat ketika baru sampai ke sini dulu, saya berasa amat seronok kerana begitu mudah untuk bertemu kawan-kawan sehati sejiwa, hinggalah akhirnya saya mengetahui bahawa mereka memiliki unsur diri yang sama dengan saya alhamdulillah.

Namun pertemuan itu tidak lama kerana kesemua mereka berpindah ke tempat lain serentak, ada yang pulang ke Malaysia dan ada yang berhijrah untuk memulakan hidup ditempat baru. Alhamdulillah Allah memberi kesempatan kepada saya untuk memahami hakikat ilmu yang dipelajari.

Selain daripada unsur diri tersebut, kebersihan dan keikhlasan hati juga membantu menarik kita untuk dekat kepada seseorang bila kita bertemu. Namun begitu hari ini amat sukar untuk kita temui insan yang betul-betul ikhlas dalam bersahabat. Ramai yang berkawan ketika ada keperluan tertentu, dan begitu mudah meninggalkannya apabila keinginan mereka tidak dapat dipenuhi oleh rakan tersebut.

Insan yang mempunyai unsur yang sama agak senang untuk mewujudkan grup, kerana mereka amat mudah memahami antara satu sama lain. Oleh itu bila kita bertemu dengan kumpulan yang tidak sama dengan kita, terimalah dengan redha, tanpa perlu kata mengata ataupun perli memerli antara satu kumpulan dengan kumpulan lain.

Sesungguhnya Allah swt telah mengatur dan menyusun manusia dalam pelbagai ciri tertentu. Alhamdulillah peluang mempelajari ilmu tersebut memudahkan saya untuk mengenal ahli keluarga sendiri serta menerima kekuatan dan kelemahan mereka. Ia juga mengajar saya agar mampu redha dengan apa yang berlaku disekeliling saya.

Apa yang pasti, itulah fitrah mereka, terimalah mereka seadanya selagi mereka bersifat positif, bila terpamer sikap negatif itu petanda ada penyakit tertentu sedang mula berkembang. Jika mereka berada dalam golongan yang mudah menerima nasihat ikhlas kita, cubalah sampaikan, mungkin mereka berminat untuk mencari penawar.

Perubahan sikap ke arah negatif adalah petanda awal tubuh kita akan kena penyakit, jika kita mampu mengawal sikap tersebut insya Allah kita akan mampu mengawal penyakit. Benarlah hadis Rasulullah saw..."Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". Bila kita mampu mengawal sikap kita, kita mampu menjadi lebih baik.

Betapa sukar untuk bertemu dengan insan yang betul-betul ikhlas dalam persahabatan, insan yang bersahabat kerana Allah swt. Jika kita temui insan sebegitu hargailah dia kerana suatu hari anda akan bersyukur kerana pernah dipertemukan dalam perjalanan hidup kita.

Jika masih belum dipertemukan lagi, yakinlah bahawa Allah swt lebih mengetahui apa yang sesuai untuk kita. Dia akan kurniakan bila tiba masanya insya Allah.

Moga Allah pertemukan kita dengan "sadiqul hamim" yang boleh memberi syafaat kepada kita di hari akhirat nanti. Aamiin. Itulah hubungan yang benar-benar bermakna dalam hidup kita dibumi ini.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman