Sukar untuk Luahkan

Bismillah...
Alhamdulillah syukur kerana masih mampu mencatat disini. Syukur kerana masih diberi kekuatan untuk bernafas di bumi ini. Moga peluang ini akan digunakan sebaik-baiknya.

Bila membaca tulisan-tulisan di internet, saya rasa gembira membayangkan betapa mudahnya penulis bercerita dan berkongsi dengan pembaca apa yang mereka rasa. Dalam masa yang sama terbayangkan diri sendiri yang masih terasa sukar untuk meluahkan apa yang tersimpan bertahun-tahun lama.

Perkara yang paling sukar bagi saya ialah bila diminta untuk menceritakan tentang diri, kemahiran dan keistimewaan. Mengapakah ia menjadi begitu sukar? Apakah tiada apa yang istimewa dalam diri insan ini? 

Bila meneliti buku-buku coretan sepanjang berada disini, memang ada terlalu banyak perkara yang ingin dikongsi tetapi masih belum bertemu kekuatan sebenar-benarnya. Apakah perlu ada insan yang bertanya baru segalanya akan diluahkan ataupun tunggu suatu detik yang sesuai? 

Bila bersembang dengan anak perempuan terasa seronoknya beliau bercerita setiap hari, sebaik saja pulang dari sekolah beliau akan terus bercerita dan bercerita, kadang-kadang bersambung pada waktu sebelum tidur. Itulah sifat anakanda yang tidak lokek berkongsi semua benda.

Sebenarnya itulah kelebihan beliau, bakat tersebut memang terserlah dari kecil lagi. Semenjak berumur 12 tahun beliau mula menulis cerita-cerita dalam bahasa Arab. Cerita terpanjang yang dihasilkan ketika berumur 13 tahun adalah sebanyak 33 mukasurat. Sekarang sedang menyiapkan cerita lain dan sudah mencecah 50 mukasurat.

Itulah bakat yang dikembangkan secara teratur, meskipun belum pernah hadiri apa-apa kursus. Alhamdulillah beliau sentiasa mendapat sokongan kami dan guru-guru di sekolah. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Sebenarnya saya sendiri memang sukar untuk menulis kerana terlalu jarang berlatih menulis ketika zaman belajar dahulu, saya selesa memendamkan segala perasaan, kesukaran hidup dan segala perkara berkaitan diri. Saya menutup segala-galanya daripada pengetahuan rakan-rakan, apa yang mereka nampak saya selalu berjaya dalam pelajaran, sentiasa berada bersama-sama kelompok pelajar terpandai di dalam kelas. 

Seingat saya, apa yang ditulis waktu itu hanyalah karangan latihan bahasa Malaysia dan ketika menjawab soalan peperiksaan sahaja. 

Apabila berjaya melanjutkan pelajaran ke Pusat Matrikulasi UIAM, saya tidak lagi memberi perhatian kepada bahasa ibunda, ia seolah-olah terbuang ke tepi. Bahasa yang dituturkan adalah dialek Kelantan, sementara didalam kelas saya terpaksa fokus untuk menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Alhamdulillah saya sempat sedar kelemahan diri, hingga sekarang saya berusaha untuk berani menulis, serta berani menerima kritikan insan lain. Moga Allah memberi kekuatan untuk saya berkongsi segala ilmu dan pengalaman yang pernah diperolehi suatu ketika dulu.

Kelemahan diri yang paling ketara ialah susah untuk menerima kritikan negatif. Jika dulu saya akan menjawab balik setiap kali ada yang mengkritik saya, sekarang saya cuba untuk mendiamkan diri, meskipun begitu sukar. Moga Allah memberi kelembutan hati, serta mudah redha atas apapun yang berlaku kepada diri ini.

Moga Allah memberi kekuatan untuk saya berkongsi serta berani meluahkan apa yang dipendam sekian lama. Moga ia tidak menjadi penyakit dalam diri. Aamiin.








Ulasan

Mak Cik Neng berkata…
Kak Za, tulis la lagi... Rindu ngan kak za

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman