Ketetapan Allah dan Pilihan kita

Bismillah...
Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih memberi kekuatan pada diri ini untuk berkongsi disini.

Semenjak zaman sekolah saya amat suka membaca dan mencari maklumat mengenai kesihatan. Setiap kali membaca akhbar bahagian kesihatan adalah ruangan kegemaran, namun begitu saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi doktor perubatan.

Disebabkan minat tersebut saya mudah memahami pelajaran sains dan ia merupakan matapelajaran kegemaran saya. Alhamdulillah asas sains yang sedikit membantu saya tidak mudah terpengaruh dengan ilmu kesihatan hari ini. Jika tidak mungkin cara pemikiran saya akan berbeza. DIA lebih mengetahui segala-galanya.

Perjalanan hidup kita sememangnya telah ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta, lain yang kita rancang tetapi lain anugerah-Nya kepada kita. Jika dulu cita-cita saya ingin belajar di Mesir kerana sayangkan bahasa Arab, DIA tetapkan perjalanan saya di UIA, mempelajari bahasa Arab yang formal dan bahasa Inggeris. Alhamdulillah ketetapan-Nya adalah yang terbaik sesuai dengan kehendak hati saya malah lebih baik lagi.

Setelah berada dibumi Muscat saya mula memahami hikmah saya diletakkan dibumi UIA, bukannya di Mesir. Bayangkan hampir sepuluh tahun saya berada disini, serta berkawan rapat dengan orang-orang Mesir, saya masih belum mampu memahami bahasa ammi Mesir. Setiap kali mencuba, saya tidak mampu kerana begitu banyak perbezaan bahasa ammi yang mesti saya pelajari.

Terfikir betapa Allah amat menyayangi saya kerana DIA Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan diri ini. Alhamdulillah bahasa Arab formal yang dipelajari di UIA amat membantu saya. Dalam masa yang sama saya juga mampu menelaah buku-buku dan tulisan dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah, itulah nikmat Allah yang dikurniakan kepada saya selama ini.

Sesungguhnya Allah swt selalu memberi kebih banyak daripada impian yang kita gariskan, jika kita berfikir. Ini bertepatan dengan firman-Nya
لئن شكرتم لأزيدنكم
yang bermaksud "sekiranya kamu bersyukur nescaya AKU akan tambahkan". Maka nikmat apa lagi yang ingin saya dustakan.

Berada di bumi UIA juga seolah-olah berada diluar Malaysia kerana saya terpaksa menggunakan dua bahasa asing, Arab dan Inggeris. Pensyarah-pensyarahnya juga didatangkan daripada pelbagai negara yang berbeza. Itulah rezeki saya suatu ketika dulu alhamdulillah.

Dibumi UIA juga saya belajar pelbagai aktiviti lain, mengutip pengalaman yang tidak diperolehi sewaktu disekolah. Sesungguhnya kurniaan itu tepat dengan kehendak hati ini, semuanya tersusun dalam pakej yang kemas dan teratur, subhanallah.

Belajarlah melihat apa yang berlaku kepada kita dari sudut positif, nescaya kita akan mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan kepada kita. Buanglah cerita-cerita negatif kerana ia akan menjadi penghalang kepada kita untuk mencapai keinginan hati.

Bila diimbas kembali cerita suka duka zaman belajar, memang kisah duka begitu banyak, kerana saya anak kampung yang hidup serba susah, tetapi kesusahan itulah yang mengajar saya selama ini, alhamdulillah.

Selama hampir dua dekad menghuni institusi tersebut, berpindah daripada beberapa tempat iaitu Subang Jaya, Lembah Pantai, Petaling Jaya dan Gombak. Menelusuri bumi Shah Alam ketika tinggal di asrama, meneroka Lembah Pantai selama beberapa tahun, bertapak dibumi Petaling Jaya, akhirnya pindah ke Taman Budi dan Ilmu. Semuanya kenangan dalam mencari ilmu dalam rangka mengenal diri sebagai insan ciptaan Tuhan.

Selama tempoh tersebut, dua ilmu utama diulangbaca, Al-Quran dan al-Sunnah dan Islamisasi Ilmu. Apakah keistimewaan kedua-duanya? Sesungguhnya kita tidak akan bosan menghadap kedua-dua sumber ilmu tersebut kerana ia adalah asas dalam kehidupan Muslim. Sehingga hari ini saya masih seronok menelaahnya alhamdulillah.

Dari situ saya bertemu pelbagai rahsia...alhamdulillah 'ala kulli hal.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman