Hadis Pilihan

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya ada diantara pokok-pokok, sejenis pokok yang tidak jatuh daunnya dan ia seperti seorang Muslim, maka terangkanlah kepadaku apakah pokok tersebut? Maka para sahabat pun mengalihkan pemikiran mereka kepada pokok-pokok yang tumbuh di sekitar mereka. Akan tetapi Ibnu Umar terfikirkan bahawa ia pokok kurma, kemudian para sahabat berkata: Terangkanlah apakah ia, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: ia pokok kurma".

Hadis ini adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitab Ilmu. Banyak pengajaran yang dapat kita perolehi daripada hadis ini diantaranya:

1. Rasulullah SAW juga menggunakan pelbagai teknik dalam menyampaikan dakwah Baginda, iaitu memberi soalan teka-teki kepada sahabat baginda untuk menguji kepintaran ilmu mereka. Jadi teknik soal-jawab dalam belajar adalah sunnah Rasulullah, pergunakanlah ia sebaik-baiknya.

2. Ia juga mengambarkan anjuran Islam supaya kita berfikir tentang kejadian Allah disekeliling kita. Sememangnya banyak pelajaran yang dapat kita perolehi daripada berfikir tentang alam sekeliling, sebagai contoh mengapa bukit-bukau di Asia Tenggara penuh dengan tumbuh-tumbuhan sedangkan bukit-bukau di negara Arab berwarna coklat tanpa tumbuhan? Bila dikaji dalam Al-Quran Allah SWT menceritakan bahawa "dan diantara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada pula yang hitam pekat". Jadi bagaimana kita nak menjelaskan perkara tersebut jika kita tidak berilmu dan tidak mahu berfikir.

3. Sifat kanak-kanak yang digambarkan dalam hadis (Ibnu Umar) ini amat bijak tetapi pemalu, beliau juga amat menghormati majlis ilmu tersebut. Walaupun beliau mengetahui jawapan tersebut tetapi beliau tetap memberi peluang kepada orang yang lebih tua untuk menjawab soalan tersebut. Apakah adab tersebut sesuai untuk kita ajarkan kepada anak-anak kita?

4. Hadis ini menceritakan kepada kita bahawa Seorang Muslim adalah seumpama sebatang pokok kurma. Kenapa Rasulullah mengibaratkan kita sebagai pokok kurma, bukan pokok-pokok lain didunia ini. Mungkinkah kerana di Madinah cuma terdapat pokok kurma? Ataupun kerana manfaat yang kita dapat perolehi daripada pokok kurma. Bagi masyarakat di Malaysia, kita memilih pokok kelapa untuk mengambarkan pokok serbaguna. Apakah kita boleh mengibaratkan seorang Muslim sebagai pohon kelapa?


Walau apapun persoalan yang timbul daripada hadis yang disebutkan diatas, ia menggalakkan kita berfikir dan mencari jawapan yang dapat menguatkan iman kita kepada Allah SWT. .

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman