Surirumah Bekerja

Surirumah bekerja adalah insan hebat penuh kekuatan diri kerana mereka mampu melaksanakan pelbagai urusan rumahtangga dan kerja lain. Kekuatan ini sekiranya diuruskan dengan betul mampu menjadikan mereka surirumah yang berjaya dari semua sudut. Apa taknya kehebatan mereka menguruskan rumahtangga, mendidik anak-anak, melayan suami, kemudian bekerja sepanjang hari dipejabat. Sekiranya mereka masih mampu pulang ke rumah dengan senyuman itulah kehebatan yang tiada bandingannya, kerana senyuman itu menandakan kepuasan hati dan ketenangan jiwa yg mereka perolehi atas segala usaha sepanjang hari.

Tapi adakah semua wanita yang bekerja mampu mempraktikkan semua sifat-sifat positif yang akan menjadi ikutan anak-anak mereka di rumah, ataupun kehidupan sehari-hari dilalui dengan penuh ketegangan dalam diri? Hanya mereka yang melaluinya mampu menggambarkannya secara hakiki.

Walau apapun tugas yang dilaksanakan, ketabahan mereka adalah lambang kekuatan diri mereka. Betapa hebatnya mereka yang mampu menyelesaikan segala tugasan dirumah dan semua tugasan dipejabat, dalam masa yang sama mampu menjaga hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat, hubungan sesama jiran, teman sepejabat dan sebagainya. Ini menuntut kekuatan diri yang maha tinggi. Sedangkan bagi kebanyakan wanita, untuk menyelesaikan tugasan dirumah sahaja sudah memenatkan kerana kerja wanita tidak pernah berakhir, daripada menyediakan sarapan pagi untuk keluarga, membersih rumah, pakaian, menyusun dan menggosok pakaian, memastikan kerja sekolah anak-anak dan pelbagai lagi tugas yang menunggu, apatah lagi bila dihitung segala tugasan dipejabat dan segala urusan luar, memang memerlukan wanita menjadi "superwomen". Namun itulah kehebatan yang selalunya kurang mendapat penghargaan daripada suami, malah mereka mengharapkan wanita melakukan lebih dari itu.

Alhamdulillah saya berpeluang memuhasabah diri, berpeluang berehat dan bersahabat dengan wanita-wanita daripada pelbagai bangsa. Wanita-wanita Arab saya kira amat bertuah kerana mereka tidak perlu melakukan banyak kerja seperti wanita-wanita lain. Kebanyakan mereka hanya melakukan tugasan peribadi dan mendidik anak-anak, manakala tugasan diluar kesemuanya dilaksanakan oleh suami. Ada juga wanita Arab yang bekerja tetapi peratusannya amat kecil berbanding masyarakat Melayu. Mungkin adat dan cara didikan yang mempengaruhi keadaan ini.

Orang Arab mendidik anak-anak lelaki untuk melakukan tugasan lelaki, terutama membeli-belah keperluan rumah, menyelesaikan urusan bil-bil dirumah dan sebagainya. Manakala anak-anak perempuan dimanjakan, berpeluang menghias diri, jarang disuruh melakukan kerja rumah, yang menyebabkan mereka susah menghadapi keadaan sukar dalam hidup mereka. Sebab itu sekiranya menonton TV, ramai wanita yang mengadu kesukaran hidup apabila suami berubah perangai. Ramai antara mereka kagum dengan kekuatan wanita Melayu kerana mampu bekerja dan mengurus rumahtangga dengan jayanya. Alhamdulillah.

Dengan tuntutan hidup hari ini, ramai diantara wanita yg bekerja merasa tertekan dan hilang ketenangan diri. Sebab itulah kita dapati hubungan semakin renggang, semakin susah untuk bertemu dengan wanita yang mampu tersenyum dan ketawa riang seperti dulu yang mana ini memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat amnya. Jadi teruskanlah kehebatan anda, jadilah ajen pengubah dunia...Biarlah kita mampu mempamerkan senyuman yang lahir dari hati yg ikhlas tanda kasih sayang sesama insan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas